SELANGOR

Bandaraya Bestari dan Mampan 2030 bernafas baru

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 NOV: Shah Alam ke arah Bandaraya Bestari dan Mampan 2030 bakal diberi nafas baru dalam menghasilkan reka bentuk pembangunan yang lebih komprehensif serta bersepadu.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif itu dengan melaksanakan Bengkel Pembangunan Pusat Bandar Shah Alam untuk mengkaji status serta isu pembangunan lain yang membabitkan kawasan sekitar Seksyen 14.

zaharin, datuk bandar shah alam aDatuk Bandar MBSA, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata rancangan pembangunan itu akan dapat mengenalpasti masalah input dan maklum balas untuk dijadikan asas dalam merangka strategi perbandaran berintegrasi di samping menyokong aktiviti sosioekonomi.

“Kita dalam usaha untuk memajukan kawasan persekitaran hijau, dinamik, efisyen dan berkualiti tinggi selari dengan kadar urbanisasi di Malaysia yang terus meningkat setiap tahun.

“Cabaran untuk menjadikan pusat bandar dominan adalah dengan mempertingkat dan menjenamakan semula bandar Shah Alam serta membentuk garis panduan pembangunan terkini seperti bandar rendah karbon juga mesra komuniti,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Pusat Bandar Shah Alam, Seksyen 14, di Hotel Grand Bluewave, di sini, hari ini.

Bengkel itu turut menyentuh cadangan pembinaan projek utama pengangkutan awam seperti LRT 3 (Bandar Utama-Klang) dan BRT (Kuala Lumpur-Klang) yang akan melalui kawasan pusat bandar secara tidak langsung.

Bengkel Pembangunan Pusat Bandar Shah Alam (ASRI)“Cadangan itu akan memberi kemudahan kepada masyarakat luar dan penduduk Shah Alam berhubung dengan lebih cepat dan efisyen.Saya percaya bengkel ini akan menjadi landasan dalam mencapai idea dan cadangan bagi memastikan sasaran matlamat dapat dicapai,” katanya

Bengkel itu membabitkan pemilik tanah di pusat bandar, agensi teknikal, profesional, Ahli Majlis dan jabatan teknikal di MBSA.

-NFN-


Pengarang :