Selangorkini
SELANGOR

Kepimpinan negeri pegang nasihat DYMM Sultan Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 6 NOV: Barisan kepimpinan Negeri Selangor hari ini akan terus memegang pesanan dan nasihat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya mengutamakan kepentingan negeri juga rakyat berbanding isu lain yang tidak memberi faedah.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pesanan baginda lebih meninggalkan kesan di hatinya, sekali gus membuatkan beliau lebih yakin untuk menerajui Selangor mengharungi cabaran ekonomi yang getir tahun hadapan.

“Peranan tuanku cukup jelas, baginda mahu negeri dibangunkan secara baik demi kepentingan rakyat. Tuanku tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran negeri apatah lagi urusan politik.

Azmin-Rakyat“Bagaimanapun, tuanku meminta semua pimpinan terutama Ahli Dewan Negeri Selangor (DNS) dalam sidang seumpama ini meletakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan dalam perbahasan kerana kita berhadapan cabaran cukup getir dan memerlukan usaha kolektif bagi membangunkan Selangor.

“Itu memang pesanan dan nasihat tuanku untuk memastikan pembangunan berjalan lancar dan dapat memberi kebaikan juga kesejahteraan kepada rakyat di Selangor ,” katanya kepada Selangor Kini selepas selesai persidangan hari keenam Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor di DNS, di sini, hari ini.

Pada 30 Oktober lalu, Mohamed Azmin membentangkan Belanjawan Selangor 2016 iaitu beliau mengambil langkah meningkatkan peruntukan untuk pembangunan kepada RM1.44 bilion berbanding RM1.33 bilion bagi Belanjawan 2015.

Peningkatan itu sejajar dengan pekembangan iklim ekonomi pada 2016 yang dijangkakan lesu akibat pelbagai faktor termasuk kejatuhan matawang ringgit.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan teori ekonomi dunia yang diterima pakai oleh ahli ekonomis terkenal yang menganggap langkah kerajaan melebihkan perbelanjaan pembangunan ketika kegawatan ekonomi dan mengurangkan perbelanjaan di saat ekonomi kembali rancak semula adalah tindakan tepat.

-NFN-


Pengarang :