Selangorkini
NASIONAL

Dana universiti awam dirizab lima peratus tahun depan

SHAH ALAM, 26 NOVEMBER : Lima peratus daripada keseluruhan dana untuk Universiti Awam (UA) akan dirizabkan dan hanya akan dikembalikan selepas universiti terbabit berjaya memenuhi indeks pencapaian utama (IPU) mulai tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata formula dana baru yang diputuskan pada mesyuarat pertama Pasukan Petugas Pendidikan Tinggi Putrajaya (PHETF) meliputi dana input (tiga peratus) dan dana prestasi (dua peratus).

Katanya, 20 UA menerima dana 100 peratus daripada kerajaan meliputi perbelanjaan yuran pengajian, geran blok (60 hingga 70 peratus) dan pembangunan.

PENDIDIKAN GRAFIK“Pendanaan 100 peratus meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-12, sedangkan outputnya meletakkan negara pada kedudukan ke-44. Ini jelas menunjukkan dana tidak digunakan secara cekap, sebab itu kita memperkenalkan skim pendanaan baru,” lapor Bernama.

Idris berkata, antara faktor yang diberi pertimbangan sebelum rizab dana dikembalikan kepada universiti ialah bilangan kemasukan pelajar, bilangan graduan, pengurangan kadar gagal dan keupayaan universiti mencipta produk inovasi.

Katanya, UA Malaysia terlalu bergantung kepada dana kerajaan antara 75 hingga 95 peratus sementara universiti di seluruh dunia hanya bergantung kepada 30 hingga 40 peratus.

“Rizab lima peratus itu akan dinaikkan secara tahunan dan dijangka mencapai tahap 40 peratus pada 2025 apabila Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 dilaksana sepenuhnya,” katanya.

-nR-


Pengarang :