SELANGOR

LUAS bangun Sistem Pengurusan Sumber Air Bersepadu sejak 2012

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertanggungjawab membangunkan Sistem Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRMS) di negeri itu melalui belanjawan dalaman agensi berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pihak berkuasa itu menjalankan usaha terbabit sejak 2012 dan berterusan hingga kini.

“Pembangunan sistem itu dijalankan secara berperingkat bagi menambahbaik mutu penyampaian data.

IMG_5868“Untuk 2016, LUAS diperuntukkan RM475,000 iaitu untuk tujuan integrasi dan empangan RM175,000 dan pembinaan stesen baharu RM300,000.

“Bagaimanapun, ia menggunakan sumber dalaman iaitu belanjawan pembangunan LUAS,” katanya menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) dalam sesi penggulungan perbahasan belanjawan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersetuju dan akan mempertimbangkan cadangan Haniza Talha (KEADILAN-Taman Medan) berhubung pembinaan taman rakyat di atas tapak bekas lombong Sri Manja di DUN berkenaan.

“Kita ambil maklum cadangan itu tetapi dengan peruntukan sedia ada, akan buat dahulu taman rakyat di Shah Alam.

“Cadangan dibangkitkan bersesuaian dengan kepadatan penduduk di situ selain pendapatan keluarga yang sederhana dan mereka juga mahu kualiti hidup lebih baik,” katanya.

-NFN-


Pengarang :