Selangorkini
SELANGOR

MB: Ghairah hujah isu DEIG, ‘roadshow’ tinggal road

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 NOV: Pengurusan baharu Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sudah mengemukakan draf awal syor penambahbaikan enakmen badan berkenaan untuk disemak susulan isu Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata draf awal sudah diserahkan kepada penasihat undang-undang negeri untuk disemak di kamar dan tindakan itu pertama kali dilakukan sejak MBI ditubuhkan pada 1994 yang gagal dilaksanakan pentadbiran terdahulu.

“Saya nak umumkan pengurusan baru MBI, terdiri daripada profesional muda yang kompetan dan berwibawa yang sudah mengemukakan draf awal penambahabaikan enakmen MBI kepada penasihat undang-undang negeri dan sedang diteliti kamar.

MB Azmin DNS“Kalau saya nak gunakan kuasa mutlak selaku Menteri Besar seperti yang dituduh beberapa individu, maka tidak perlu pinda enakmen MBI sebab kuasanya besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) berkenaan saranan penambahbaikan struktur tadbir urus korporat MBI dan Anak-anak Syarikat (GLC), di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, tindakan meminda enakmen berkenaan bagi membolehkan aset sedia ada diuruskan dengan lebih telus serta bertanggungjawab.

Mohamed Azmin (KEADILAN-Bukit Antarabangsa) selaku wakil Kerajaan Negeri menafikan pihaknya takut terhadap hujah yang dikemukakan dalam DNS, bahkan beliau sediri berdiri selama 37 minit bagi menjawab kepada jawatankuasa sama berhubung penubuhan DEIG pada sidang lalu.

“Walaupun mengikut peraturan dewan saya tidak perlu jawab terus pada jawatankuasa dan penyata yang dibentangkan.

“Kalau tidak mengikut peraturan saya boleh cakap sekadar ambil maklum dan akan beri keterangan secara bertulis dalam sesi akan datang.

“Tetapi, saya ambil tanggungjawab untuk menjawab soalan berbangkit kerana melihat ada kecenderungan untuk memutar belitkan fakta berkenaan penubuhan DEIG sehingga ia menjadi topik perbincangan hebat.

“Bahkan ada pihak cuba membuat ‘roadshow’ (jelajah) di seluruh Selangor, forum setiap malam kononnya rakyat mahu mendengar penjelasan tetapi saya lihat kerusi lebih banyak dari orang yang hadir. Sehinggakan ‘roadshow’ itu tinggal ‘road’ sahaja ‘show’ tiada,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Adun Pakatan supaya tidak terlalu ghairah berhujah ekoran kebimbangan manipulasi fakta, sekali gus membuka ruang pertikaian pihak tidak bertanggungjawab dan menenggelamkan isu Belanjawan Selangor 2016.

-NFN-


Pengarang :