SELANGOR

MBI-anak syarikat bincang hala tuju, tolak budaya ‘sendiri-sendiri’

Oleh : AFEEQA AFEERA

PORT DICKSON, 15 NOV : Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mengambil inisiatif mengadakan pertemuan bersama wakil anak syarikatnya untuk menentukan hala tuju.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman, berkata meskipun MBI ditubuhkan sejak sekian lama, namun pemerbadanan itu tidak pernah berkongsi pelan atau idea bersama anak syarikat.

Beliau berkata, melalui perbincangan itu semua anak syarikat dapat memahami peranan dan tugas masing-masing dalam setiap industri.

Raja Shahreen“Kita tidak pernah mengadakan pertemuan atau penyatuan bersama, tidak berbincang dan duduk semeja untuk berkongsi rancangan dan idea secara berkumpulan.

“Berbanding dahulu yang lebih ‘sendiri-sendiri’, kita dapat berbincang keupayaan serta kekuatan anak syarikat yang ada di samping perancangan masa hadapan mereka, “, katanya kepada Selangor Kini.

Raja Shahreen bersama wakil anak syarikat lain menyertai program Rancangan Baikpulih Perniagaan kumpulan MBI di Hotel Avilion, di sini semalam.

Mengulas Belanjawan Selangor 2016 yang diluluskan 13 November lalu, beliau berkata pihaknya yakin semua anak syarikat mampu menyokong Kerajaan Negeri mencapai hasrat dan sasaran ditetapkan.

Katanya, anak syarikat dapat mengenal pasti peluang dan sumber yang diperlukan untuk menjayakan rancangan Belanjawan 2016.

“Kita sedar dalam belanjawan itu kita perlu mencari sumber kewangan yang pelbagai ekoran kebergantungan kepada hartanah terlalu tinggi iaitu lebih kurang 78 peratus.

“Sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, anak syarikat dapat menyumbang dividen serta terus menyokong rancangan atau idea Kerajaan Negeri,” katanya.

-nR-


Pengarang :