Selangorkini
SELANGOR

OA Racing Team naik kategori, harap buka mata penaja

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 NOV: Kejayaan pelumba OA Racing Team, Azrul Affendi Hadi menjuarai kategori Pro-Am kejuaraan Petronas AAM Cup Prix 2015 diharap membuka mata penaja bagi membantu pasukan dianggotai orang asal itu mengharungi cabaran musim 2016.

Pengurusnya, Hadi anak Jembik, berkata hal ini berikutan pasukan yang berpengkalan di Kampung Bukit Tandom, Banting itu sebelum ini tidak mampu menampung kos untuk menyertai perlumbaan di setiap pusingan yang diadakan.

OA RACING“Tidak ada syarikat menaja team kami dan kos untuk menyertai setiap pusingan termasuk penyelenggaraan agak tinggi hingga ada pusingan yang kami tercicir kerana tidak cukup wang.

“Tetapi kami berjaya buktikan kemampuan menjadi juara keseluruhan tahun ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Hadi berkata, ketiadaan penaja hanya akan membantut dan mensia-siakan bakat Azrul untuk pergi lebih jauh.

“Tahun depan Azrul akan beraksi dalam kategori lebih tinggi, MCP115. Saya harap ada syarikat yang tampil menjadi penaja kami mengharungi perlumbaan yang lebih mencabar nanti,” katanya.

OA Racing AzrulSebelum ini, pelumba OA Racing Team, Azrul dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori Pro-AM pada kejuaraan Petronas AAM Cup Prix 2015 selepas mengumpul 163 mata meninggalkan pesaingnya Md Yusof Omar yang mengutip 156 mata.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Azrul beraksi dalam kategori lebih tinggi lagi pada musim 2016 nanti.

Selain menyertai kejuaraan Petronas AAM Cup Prix, OA Racing Team juga mengidam aksi di pentas perlumbaan peringkat lebih tinggi iaitu Asia Road Racing Championship.


Pengarang :