Selangorkini
SELANGOR

Tiada tender terbuka punca tarif air meningkat

ccsb-ads

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 9 NOV: Pihak pengurusan lama Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) didapati tidak mengamalkan tender terbuka bagi sesuatu projek atau perolehan baru, sebaliknya menganugerahkan tender secara terus kepada pihak tertentu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan itu menyebabkan syarikat konsesi itu terpaksa menaikkan kadar tarif air terhadap pengguna bagi menampung kos operasinya yang meningkat tinggi.

azmin-pc-DNS-01“Maklumat daripada pengurusan baru SYABAS amat mengejutkan kerana banyak proses perolehan dibuat pengurusan lama tidak melalui tender terbuka seperti ganti paip dan meter.

“Semuanya diberi di kalangan orang tertentu sekaligus menyebabkan kos memulih dan menambahbaik sistem industri bertambah tinggi dan akhirnya kembali kepada rakyat dengan kadar tarif begitu tinggi. Diharap ia tidak lagi berulang,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Pembekalan Tong Sampah Percuma Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut melahirkan keyakinan beliau, pengurusan baru SYABAS dapat memulihkan ‘kerosakan’ organisasi yang berlaku dalam pengurusan dengan memasukkan urus tadbir yang baik.

Pada 2011, SYABAS memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri berikutan keengganan membenarkan kenaikkan tarif air seperti yang dipersetujui dalam perjanjian dimeterai di era pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2004.

Bagaimanapun pada 15 Oktober lalu, Kerajaan Negeri secara rasminya mengambilalih SYABAS dan Puncak Niaga melalui Syarikat Air Selangor.

Pagi tadi, Mohamed Azmin dan beberapa Exco Kerajaan Negeri mengadakan lawatan rasmi pertama ke Ibu Pejabat SYABAS selepas Kerajaan Negeri mengambilalih sepenuhnya Industri Air Selangor (Air Selangor) pada 15 Oktober lalu.

-nR-


Pengarang :