Selangorkini
NASIONAL

PKR lancar facebook bantu SPRM, BNM kesan Jho Low

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memberi tempoh dua minggu kepada pihak berkuasa menjalankan usaha mengesan lima individu dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, berkata sekiranya pihak bertanggungjawab masih tidak menjalankan usaha sewajarnya, KEADILAN akan melancarkan akaun facebook bagi membolehkan pengguna laman sosial itu memaklumkan sekiranya mereka mengesan lima individu terbabit.

WONG CHEN“Sekiranya dalam tempoh dua minggu mereka masih gagal dikesan, PKR akan melancarkan laman facebook untuk mendapatkan bantuan jaringan nitizen yang ternampak mereka,” katanya pada sidang media di Lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Jelasnya, semua individu terbabit gagal dikesan berikutan tiada sebarang siasatan dan permohonan bantuan Polis Interpol dibuat pihak berkuasa negara ini.

Katanya, lima individu terbabit sering menarik perhatian media seluruh dunia ekoran gaya hidup mewah masing-masing selepas dikaitkan dengan skandal yang menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.

Terdahulu, Wong Chen dikejutkan dengan jawapan bertulis oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa tiada sebarang usaha untuk mengesan dijalankan bagi mengesan lokasi Jho Low, Nik Faisal Ariff Kamil, Suboh Md Yassin, Cassey Tang dan Jasmine Loo.


Pengarang :