Selangorkini
NASIONAL

Rafizi tak terkejut Salleh terlepas tuduhan skandal NFC beli kondo

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak terkejut keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporations Sdn Bhd, Datuk Seri Salleh Ismail dari dua tuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta.

Rafizi berkata, beliau menjangka keputusan melibatkan pembelian dua unit kondominium mewah di One Menerong, Bangsar itu dibuat dengan alasan Salleh terlebih sudah memperolehi kelulusan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah atau Mesyuarat Agung Tahunan syarikat itu.

NFC- Shahrizat & Salleh“Saya menunggu perincian perbicaraan sebelum boleh membuat komen lanjut tetapi saya boleh mengagak tertuduh mengemukakan bukti pembelian itu mendapatkan persetujuan diluluskan mengikut prosedur syarikat dan ini memberi tafsiran tidak berlaku sebarang pecah amanah.

“Jika ini yang berlaku, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak meluluskan supaya NFC boleh menggunakan dana diberikan untuk penternakan lembu bagi tujuan membeli kondominium,” kata Rafizi pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Jelasnya, keputusan ini juga secara tidak langsung memberi mesej pentadbiran Perdana Menteri sedikit pun tidak mempedulikan kemarahan rakyat mengenai skandal menyebabkan Datuk Seri Shahrizat Jalil meletak jawatan.

Katanya, keputusan ini juga mengesahkan skandal NFC ini bukan sahaja terpalit kepada keluarga Shahrizat tetapi Umno ekoran pemimpin Umno dalam kerajaan memberi kebenaran dana NFC digunakan untuk membeli kondominium.

EZY


Pengarang :