Selangorkini
NASIONAL

Rakyat keutamaan, atasi agenda peribadi

ccsb-ads

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 27 NOV : Parti pembangkang perlu meletakkan rakyat sebagai keutamaan mengatasi agenda peribadi untuk menyelamatkan negara daripada Barisan Nasional (BN).

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, berkata tindakan saling mencabar antara satu sama lain hanya menzahirkan sikap kebudak-budakan dalam suasana politik yang kian rapuh.

“Dalam proses membina dan menerajui pakatan pembangkang, Wanita KEADILAN berharap semua parti belajar dan mengimbas semula perjuangan kita untuk mencapai sepakat melalui kematangan politik.

ZURAIDAH KONGRES“Misi bersatu memenangi Putrajaya lebih penting, oleh itu kita harus menjaga batas dalam berkomunikasi dan terbuka melalui perbincangan aktif bagi merealisasikan perlawanan satu lawan satu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Nasional di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

Zuraida turut mengingatkan perjuangan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhempas pulas menyatukan pembangkang dalam satu gagasan.

“Walaupun jasadnya dipenjarakan, namun idealismenya harus terus menjalar dan meresapi setiap sanubari rakyat supaya tiada lagi penindasan berlaku ekoran kecetekan ilmu dalam politik,” katanya.

Kongres kali ke-11 itu adalah bagi memilih perwakilan di samping berbahas berkenaan pelbagai isu semasa dan parti.

-nR-


Pengarang :