SELANGOR

SMUE bantu uruskan jenazah lebih baik

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 26 NOV: Skim Mesra Usia Emas (SMUE) meringankan beban bukan sahaja kepada warga emas yang berdaftar, malahan kepada ahli keluarga lain.

Pesara, Noorida Ariffin, 57, berkata usaha Kerajaan Negeri mewujudkan skim itu harus dipuji kerana ia membantu waris yang berpendapatan rendah dalam menguruskan pengebumian.

Noorida Ariffin“Saya sendiri rasa sangat bersyukur sekurang-kurangnya skim ini dapat bantu kami uruskan jenazah dengan lebih baik.

“Dengan bantuan ini, saya dapat menaik taraf kubur arwah ayah, selain membuat kenduri tahlil untuknya,” katanya kepada Selangor Kini.

Noorida Ariffin antara 926 penerima wang khairat kematian SMUE yang hadir ke Pejabat Adun Subang Jaya, di sini, semalam.

Pesara TNB, Chow Ah Choo, 62, berkata, RM 2,500 yang diterimanya sudah cukup memadai bagi dia sekeluarga.

Chow Ah Choon“Saya sudah cukup gembira dengan jumlah yang diberi ini kerana dapat mengurangkan beban dalam menguruskan pengebumian ibu saya.

“Kerana kos pengebumian sangat mahal terutama bagi bangsa cina,” katanya.

Sementara itu, akauntan, V Shyama Kumari, 53, berkata dia turut berbesar hati dengan inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri itu.

“Ia adalah salah satu langkah bijak kerana hanya terdapat di Selangor. Saya berharap skim ini dapat diteruskan ke tahun akan datang,” katanya.

-NFN-


Pengarang :