Selangorkini
SELANGOR

Tempoh bayaran semula pinjaman KDEB dilanjut setahun

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh bayaran semula pinjaman Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) selama setahun bagi menyelesaikan proses pengambilalihan syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata lanjutan tempoh itu dibuat bagi membolehkan KDEB merancang pembayaran semula selepas KHSB menjadi milikan penuh dengan tarikh asal pembayaran semula seharusnya diselesaikan, pada 28 November ini.

azmin012“KDEB membuat pinjaman kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM413.20 juta yang bermula Jun 2013, namun masih gagal membuat bayaran semula.

“Pinjaman itu ikenakan caj pembiayaan empat peratus setahun berjumlah RM16.528 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan pinjaman RM429.728 juta,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata, setakat ini KDEB sudah membuat bayaran balik RM5 juta sahaja menjadikan baki pinjaman RM424.728 juta.

Namun, KDEB masih gagal memiliki KHSB 100 peratus ekoran keengganan pemegang saham minoriti terbesar, Seringan Capital untuk menjual saham mereka.

Bagaimanapun, KHSB sudah melaksanakan kaedah pengurangan modal terpilih dan pelaksanaan pembayaran (SCR) bagi menjayakan pengambilalihan penuh ikuiti.

“Beberapa rundingan sudah dijalankan KDEB bersama Seringan Capital dari bulan Mac hingga Oktober lalu memandangkan cadangan kaedah SCR perlu mendapat sokongan pemegang saham minoriti terbesar KHSB.

“Seringan Capital secara dasarnya bersetuju dengan cadangan ini. KDEB sudah berjaya mengambil alih RM8 juta saham KHSB daripada Seringan Capital hanya, pada Mac lalu.

KDEB 01“KDEB sudah menjalankan urusan mendapatkan proses untuk mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti, bank dan pemiutang utama KHSB,” katanya.

Katanya, KHSB melalui EGM sudah mendapat kelulusan pemegang saham minoriti untuk pelaksanaan SCR pada 16 Oktober lalu, namun memerlukan kelulusan mahkamah.

Difahamkan, pendengaran mahkamah ditetapkan pada 6 November ini dan proses dokumentasi dijangka selesai pada 28 November ini.

-NFN-


Pengarang :