Selangorkini
NASIONAL

TPPA: Fotostat buku teks jadi satu jenayah, penjara menanti

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Pertumbuhan ilmu di dalam masyarakat negara ini dijangka direncatkan apabila Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dilaksanakan ekoran undang-undang terhadap isu hak cipta menjadi jauh lebih ketat.

Ahli Parlimen Sungai Siput, Jeyakumar Devaraj, berkata antara golongan dijangka paling terkesan dengan undang-undang itu adalah pelajar khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) apabila hak cipta sesuatu buku boleh dipajak atau dijual kepada pihak ketiga yang akan menikmati segala hak daripada hak cipta itu.

JEYAKUMAR“Penjenayahan amalan fotostat sebahagian daripada buku teks dengan mengenakan hukuman penjara terhadap pihak yang melakukannya.

“TPPA juga mengkehendaki kerajaan 12 negara terlibat menggubal undang-undang merampas dan memansuhkan alat yang dipakai untuk fotostat,” katanya pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Jeyakumar berkata wujud kemungkinan besar dana pelaburan asing membeli hak cipta sejumlah buku teks untuk beberapa bidang pelajaran daripada pengarang asal sebelum menyewa franchis mengutip royalti untuk membuat fotostat daripada buku terbabit.

Katanya, pihak pemilik hak cipta itu kemudiannya membuka kedai-kedai fotostat di mana buku-buku ini dapat dibuat salinan fotostat dengan harga lebih tinggi sehingga mencecah RM1 bagi setiap muka surat.

BUKU“Pihak yang memiliki sama ada secara membeli atau memajak hak cipta itu juga boleh mendakwa mana-mana pihak yang membuat salinan buku yang hak ciptanya dimilik mereka.

“Hukuman berat terhadap kesalahan ini akan menakutkan orang awam dan pemilik kedai fotostat. Pelajar terpaksa pergi ke pusat fotostat yang memegang hak cipta untuk buat salinan fotostat walaupun terpaksa membayar dengan harga yang tinggi,” kata beliau lagi.

Selain itu, hak cipta sesuatu buku juga akan dilanjutkan daripada 50 tahun ke 70 tahun selepas kematian pengarang buku terbabit.

Bagaimanapun kata Jeyakumar, kesan-kesan yang dinyatakan ini lebih dirasai selepas kira-kira lebih 10 tahun perjanjian TPPA diaktifkan.


Pengarang :