Selangorkini
SELANGOR

331 keluarga terima bantuan banjir ringan beban

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 8 DIS: Seramai 331 keluarga yang merupakan mangsa banjir di beberapa kawasan di sini menerima Sumbangan Bantuan Bencana daripada Kerajaan Negeri bernilai RM500 bagi setiap keluarga.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata setiap keluarga turut menerima sumbangan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM300.

Bantuan banjirKatanya, mereka yang mempunyai anak yang berdaftar dengan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) juga bakal menerima sumbangan lain bernilai RM200.

“Syukur Alhamdulillah, banyak agensi yang sama membantu mereka yang dilanda kesusahan.

“Mangsa nyata terharu dan gembira kerana merasakan mereka tidak bersendirian ketika susah tetapi terus mendapat sokongan daripada pihak kerajaan,” kata Daroyah.

Semalam, beliau menyampaikan sumbangan yang diagihkan melalui Pejabat Daerah Kuala Selangor di Dewan Bukit Kuching Tengah, Jeram.

Daroyah berkata, Kerajaan Negeri turut menghargai dan berterima kasih atas peranan sukarelawan dalam membantu mangsa banjir.

“Selain daripada gerak kerja jabatan kerajaan, semangat kemasyarakatan untuk saling bantu membantu yang ditunjukkan sukarelawan ini nyata merupakan aset dan kebanggaan Selangor,” katanya.

EZY


Pengarang :