SELANGOR

Majlis Minum Petang Diraja, majlis rasmi terakhir Khusrin

Oleh : NORHAYATI UMOR

KLANG, 11 DIS: Majlis Minum Petang Diraja sempena Keputeraan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-70 merupakan majlis rasmi terakhir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Ini kerana, bulan Disember ini genap lima tahun Khusrin menyandang jawatan terbabit.

Sehubungan itu, Khusrin menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada baginda kerana memberi kepercayaan kepadanya menerajui perkhidmatan awam di negeri itu.

“Segala tunjuk ajar dan teguran Tuanku berikan amat berguna bagi patik dan patik akan jadikan panduan di masa hadapan.

“Patik juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Diraja, Orang Besar Istana, ketua jabatan dan seluruh warga kerja Kerajaan Negeri yang memberikan kerjasama selama 30 tahun berkhidmat di Selangor,” katanya dalam ucapannya di Majlis minum petang diraja, di Istana Alam Shah, di sini.

Khusrin sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang juga setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi sesi 2009 – 2011.

-nR-


Pengarang :