Selangorkini
BERITA UTAMA

Nurul Nuha kembali rasai eratnya dakapan 17 tahun lalu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

Tayangan video berdurasi lebih lima minit itu membawa dia kembali ke satu detik yang paling tidak dapat dilupakan seumur hidupnya.

Detik yang berlaku ketika dia hanyalah seorang gadis kecil berumur 14 tahun itulah yang akhirnya mengubah segala-galanya, meragut belaian kasih seorang papa pada anaknya.

12359920_653972861372660_3844389576754422703_nDia masih teringat detik mencemaskan itu. Dia masih teringat dentuman kuat apabila pintu dipecahkan lelaki bertopeng yang lengkap bersenjata automatik.

Orang ramai mula berasak-asak dan keadaan mula kelam kabut dan tegang. Laungan zikir Lailahaillallah dan reformasi bergema di segenap ruang sempit itu.

Pada masa itu gadis kecil itu dan adik beradiknya yang lain dapat melihat lelaki, perempuan, tua dan muda yang tidak pernah dikenalinya turut sama meratapi dengan berjurai air mata mereka memikirkan nasib yang bakal menimpa papanya itu.

Keadaan semakin berasak-asak, orang ramai seolah-olah enggan memberi laluan kepada anggota polis bertopeng membawa papanya pergi.

Mujur papanya berjaya menenangkan orang ramai yang berada di situ. Selepas bercakap dengan beberapa lelaki berseragam lengkap pegawai polis, papanya naik ke atas untuk menunaikan solat.

Selesai bersolat, tiada apa yang sempat dicapai melainkan beberapa keperluan asas dan senaskhah Al-Quran.

Nurul NuhaSebaik papanya turun ke bawah, papanya mendakap erat mereka anak beranak. Dakapan papa pada malam itu dirasakannya lebih erat dari biasa.

Papa seolah-olah enggan melepaskan dakapannya dan begitu juga mereka enggan melepaskan papa pergi.

Namun, apakan daya dakapan erat papa akhirnya terlerai juga kerana sentapan kuat lelaki bertopeng itu. Papa yang dikepung lelaki bertopeng akhirnya melangkah pergi sebagai pahlawan.

Tayangan video terhenti. Tanpa disedari matanya bergenang. Pada saat ini juga gadis kecil yang kini sudah pun dewasa dan sudah memahami erti perjuangan papanya, dapat rasakan semula hangatnya dakapan erat malam tanggal 20 September pada 17 tahun lalu.

Dakapan itu sangat dirasakan pada malam ini, membakar semangat yang ada dalam dirinya menjulang api perjuangan meneruskan legasi papanya

PC Nuha Ibrahim March of Freedom (1)Fahamlah dia, sesungguhnya pada hari ini dan ketika ini kerinduan mereka terhadap belaian kasih seorang papa semakin tidak tertahan-tahan lagi.

6 Disember lalu genap 300 hari Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tahanan politik gara-gara ketakutan pemerintah terhadap obor perjuangan rakyat yang dijulangnya sejak 17 tahun lalu.

Bagaimanapun anak kedua Anwar, Nurul Nuha Anwar, berkata percaturan pemerintah memenjarakan Anwar buat kali ketiga bagi tujuan meredakan kebangkitan rakyat adalah kesilapan kerana pemenjaraan itu memarakkan lagi obor kebangkitan rakyat.

“Melihat semula adegan papa ditahan tadi amat menyentuh perasaan kami adik beradik. Sebelum papa dibawa pergi memang dia dakap kami erat sebelum ditarik.

“Dakapan papa pada masa itu memang sungguh erat dan kuat menyebabkan kami tidak dapat lupakan sampai sekarang dan pada malam ini pelukan malam 20 September, 17 tahun lalu itu lebih dirasai,” kata Nuha dengan suara yang tersekat-sekat.

Nurul Nuha berkata demikian kepada Selangor kini pada program ‘Hari ke-300 Pemenjaraan Anwar, Rakyat Masih Bersamamu’ di hadapan Penjara Sungai Buloh.

Nurul Nuha juga sempat mengimbau kembali kebimbangan mereka sekeluarga memuncak selepas mendapati mereka ‘kehilangan’ Anwar untuk beberapa hari sebelum Anwar muncul kali pertama di mahkamah dengan mata yang lebam.

“Pada malam tersebut kami dibawa menaiki van tetapi semasa perjalanan, van berhenti dan kami diberitahu papa perlu ditukar ke kenderaan lain, sebuah kereta yang bukan kereta polis.

Bila kami tanya kenapa, mereka tidak memberikan sebarang alasan cuma beritahu kita akan berjumpa di Bukit Aman.

Anwar“Setiba di Bukit Aman kami diberitahu papa tidak ada di situ. Kami tidak tahu di mana papa sehinggalah beberapa hari kemudian papa dibawa ke mahkamah.

“Rupa-rupanya pada malam itu papa dipukul setengah mati oleh (Ketua Polis Negara ketika itu) Tan Sri Rahim Noor,” kata Nurul Nuha lagi.

Nurul Nuha turut mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak berputus asa untuk meneruskan perjuangan membebaskan negara ini daripada cengkaman ahli politik korup dan zalim.

“Rakyat Malaysia janganlah berputus asa, teruskan perjuangan sehingga menang. Papa sanggup dipenjarakan kerana kita tidak mahu berkompromi dengan diberikan keselesaan dan kemewahan demi rakyat Malaysia.

“Jangan sia-siakan pengorbanannya itu,” kata Nurul Nuha lagi.

EZY


Pengarang :