Pakar bioteknologi kelahiran Klang disenarai 100 individu paling berpengaruh dunia | Selangorkini


Pakar bioteknologi kelahiran Klang disenarai 100 individu paling berpengaruh dunia

Pakar Bioteknologi, Dr Mahaletchumy Arujanan, 46,tersenarai sebagai salah seorang daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia. Beliau tersenarai dalam kalangan individu terkenal termasuk Bill dan Melinda Gates serta pelakon Michael J Fox seperti yang diterbitkan majalah sains ‘Scientific American’. Kejayaan itu sudah tentu membanggakan rakyat Malaysia. Anak kelahiran Klang itu juga adalah Pengarah Eksekutif Pusat Maklumat Bioteknologi Malaysia (MABIC). Ikuti temubual beliau bersama wartawan Selangor Kini, Norhayati Umor bagi berkongsi pengalaman kejayaan beliau serta pandangan berkenaan industri bioteknologi di Malaysia dan pelaksanaan Selangor Bio Bay di negeri ini.

Boleh ceritakan berkenaan diri dan keluarga?
Saya dilahirkan di Kampung Jawa, Klang. Arwah bapa saya adalah bekas guru besar sekolah tamil. Ibu seorang suri rumah dan saya mempunyai lima adik-beradik. Keluarga kami dititik beratkan dengan disiplin yang sangat tinggi oleh bapa dan fokus kepada pendidikan. Daripada awal lagi kami diberikan bimbingan, pendidikan dan nilai moral. Kata bapa, perkara itu penting untuk bentuk karakter seseorang. Suami saya, M Selvamuthu bekerja di Takaful Malaysia dan saya mempunyai dua anak perempuan Komala, 16, dan Deepa, 15.

Berapa lama tinggal di Kampung Jawa? Apa yang menarik di Klang pada pandangan Dr?
Memang daripada kecil saya bersekolah di Bukit Kuda. Daripada tingkatan satu hingga lima. Masa saya tingkatan enam baru berpindah ke Kampung Jawa, jadi dua kawasan ini adalah kampung saya. Suami saya berasal dari Puchong dan saya berpindah ke sini selepas berkahwin.


Interview Dr Maha berkenaan Bioteknologi Malaysia (7)Klang bagi saya taraf hidup tidak tinggi berbanding kawasan lain. Walaupun saya sudah berpindah berbelas tahun selepas berkahwin tetapi jika perlukan sebarang keperluan, maka saya akan pergi ke Klang dan semua kita boleh dapat di sana. Taraf hidup di sana masih sesuai dengan semua golongan termasuk pertengahan. Klang adalah tempat yang sangat dekat di hati saya.

Bagaimana perasaan Dr apabila menjadi 100 orang paling berpengaruh dalam bidang bioteknologi.
Sangat gembira dan bangga kerana dapat menaikkan nama Malaysia. Kalau dilihat senarai nama itu, saya seorang saja dari Malaysia. Memang sangat bangga dan gembira kerana segala yang saya lakukan di Malaysia dan luar negara diiktiraf. Sebenarnya, senarai itu hanya satu pengiktirafan. Pada tahun 2010, saya sudah diberi satu anugerah dari ‘third world academy of science’. Saya menerima ‘Public Understanding of Science for Region South Asian dan Pasific’.

Tahun ini juga saya disenaraikan bersama 22 wanita lain dalam bidang perundangan dan sains sebagai ‘women inbiotechnology law and regulation’ dari Amerika Syarikat untuk jurnal bertajuk ‘biotec law report’. Itu juga adalah satu pengiktirafan. Memang kita rasa gembira kerana apa yang dilakukan ada pengiktirafan, bahkan ia juga sebagai dorongan untuk saya menyumbang lebih banyak kepada Malaysia dan global.

Kenapa Dr berminat dalam bidang ini?
Sejak saya diterima masuk ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang mikrobiologi dan biokimia kerana rasa bidang ini merangkumi pelbagai sektor. Bukan sahaja sains hayat. Jika kita lihat ketika ini, bioteknologi bukan sahaja membabitkan pertanian atau perubatan tetapi juga industri. Industri ini boleh jadi ‘oil and gas’, elektronik dan persekitaran. Banyak masalah juga cabaran yang dihadapi dalam dunia ini boleh diatasi dengan menggunakan bioteknologi. Memang saya sangat berminat untuk belajar dengan lebih mendalam.

Kongsikan perjalanan kerjaya Dr sehingga ke tahap yang membanggakan ketika ini.
Sejak daripada bangku sekolah saya bercita-cita untuk menjadi peguam khususnya ketika di tingkatan tiga. Tetapi bapa saya mempersoalkan kenapa tidak memilih sains dan matematik kerana saya sangat cemerlang. Walaupun saya memang minat menjadi peguam namun saya mengikuti nasihat bapa. Saya fikir selepas masuk ke tingkatan enam boleh mengikuti pengajian dalam bidang sastera tetapi ketika tingkatan empat jatuh cinta dalam mata pelajaran sains sehingga diterima masuk ke UPM.

Ketika itu, saya sangat kagum dengan sains. Saya lihat dalam mikrobiologi itu sekecil titik beribu-ribu reaksi berlaku dalam sel dan bagaimana reaksi berkenaan kita aplikasi untuk manfaat masyarakat. Saya bertekad untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang bioteknologi. Selepas itu, saya bekerja di beberapa syarikat tetapi masih rasa apa yang dicari itu tidak ditemui termasuk di organisasi antarabangsa dan tempatan.

Cabaran yang saya mahukan tidak dapat sehingga bekerja di MABIC yang bertaraf antarabangsa tetapi di Malaysia, MABIC sebagai ‘non profit organization’. Saya menceburi bidang sains, perundangan polisi, agama, kamunikasi dan perniagaan kerana semuanya sangat penting dalam bioteknologi. Saya tidak berkemahiran dalam semua ini tetapi ia cabaran kepada saya.

Apa sahaja seminar dan persidangan menjadi landasan untuk saya bergaul rapat dengan orang yang berkemahiran dalam semua bidang ini. Daripada situ, bermulalah kerjaya saya sebagai ‘science communicators’.

Pada 2008, selepas memahami semua aspek dalam bidang bioteknologi, saya meneruskan pengajian ke peringkat PHD dalam sains komunikasi. Sains itu sesuatu yang kompleks. Bukan semua orang minat dengan sains. Sains ialah perkara yang kompleks dan bosan. Jadi, kita perlukan seseorang yang boleh berkomunikasi berkenaan sains secara efektif dan pandai menarik minat bukan sahaja orang ramai tetapi penggubal dasar, ahli politik, media dan guru. Banyak perkara berkenaan perundangan sangat penting dalam bioteknologi. Jadi, saya terlibat semua dalam perkara ini.

Bagaimana dengan sokongan keluarga? Bagaimana Dr membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga?
Sokongan keluarga memang bagus. Pendidikan memang dititik beratkan termasuk bahasa Melayu dan Inggeris. Saya dipaksa membaca surat khabar semua bahasa. Bila kerja semakin meningkat, maka akan banyak cabaran. Nak bahagikan masa antara kerjaya dengan keluarga, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu sangat memerlukan sokongan dan dorongan daripada suami. Suami sangat memahami dan sentiasa memberikan sokongan supaya kerjaya saya tidak terjejas. Saya terpaksa ke luar negara atau negeri lebih lapan kali setahun, jadi suami mengisi tanggungjawab saya apabila tiada di rumah.

Sekarang, saya boleh membahagikan masa bekerja mengikut masa sendiri, adakala bekerja dari rumah dan itu memberikan bonus tambahan. Sebagai wanita kita perlu pandai membahagikan masa, apa yang perlu dititik beratkan dalam keluarga adalah dengan mengutamakan yang penting dahulu.

Interview Dr Maha berkenaan Bioteknologi Malaysia (5)Sasaran kerjaya Dr selepas ini?
Saya akan terus menyumbang dalam bidang ini untuk negara kita. Malaysia memang ada polisi yang bagus. Ada ‘political wheel’ yang kuat dari Kerajaan Persekutuan juga Negeri. Cabaran semasa yang berlaku di negara sememangnya bioteknologi ada jawapannya. Selain di negara kita, saya mahu lebih aktif di peringkat antarabangsa. Saya mahu bidang ini dimanfaatkan semua negara terutama yang sedang membangun.

Di Malaysia, bagaimana Dr melihat kemajuan dalam bidang bioteknologi setakat ini?
Agak pesat. Sejak 2005 hingga 2008, terutama dengan adanya Dasar Bioteknologi oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. Banyak syarikat tempatan juga luar negara menyumbang kepada pelaburan tempatan dan asing tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan sebab apa-apa yang berlaku dalam penyelidikan kita, universiti di negara ini tidak cukup untuk ke luar pasaran.

Penyelidikan kita perlu diberikan lebih keutamaan mengikut kehendak pasaran. Kalau dilihat, aspek itu memang banyak yang perlu dilakukan tetapi bila lihat GDP pula kebanyakannya memang banyak daripada bidang bioteknologi. Graduan kita diberi bimbingan supaya mereka bersedia memasuki pasaran bioteknologi.

Apakah cadangan Dr untuk mengembangkan bidang ini?
Apa yang paling penting, bioteknologi bidang ‘multidisciplinary’…tidak ada satu institusi atau seseorang yang boleh memajukan bidang ini. Ia perlukan sumbangan daripada pelbagai industri contohnya sektor kewangan, perundangan, politik dan media. Apa yang paling penting adalah pelaksanaan. Di Malaysia, polisi memang bagus juga perundangan tetapi masalah akan datang di peringkat pelaksanaannya.

Paling penting, hala tuju kita utamakan terhadap apa yang negara ingin capai. Contohnya isu denggi apabila adar kematian setiap tahun meningkat, jadi apa negara kita buat? Malaysia antara yang terawal menyertai pengubahsuaian genetik untuk denggi. Larva akan mati sebelum mencapai dewasa. Jika kita teruskan usaha ini populasi aedes akan turun tetapi kita masih di belakang.Brazil dalam masa lima tahun sudah komersialkan bidang ini. Malaysia tiada apa-apa. Kita berhentikan projek ini atas banyak faktor.

BIO BAYSebab itu saya katakan keutamaan kita perlu selaras dengan hala tuju yang mahu dicapai, apa masalah yang mahu ditangani di Malaysia. Hala tuju dan keutamaan ini tidak boleh ditukar atau diubah walaupun Menteri Besar, Perdana Menteri atau menteri yang terbabit bertukar. Itu tidak boleh. Dalam sains, kita tidak boleh dapat keputusan selepas setahun atau dua tahun penyelidikan. Adakala, sehingga lima tahun tiada keputusan dan kena tunggu dalam jangka masa panjang contohnya 10 hingga 15 tahun. Dalam tempoh ini, kita akan hadapi tiga pilihan raya yang membuatkan projek dirasmi tapi tiada kesinambungan seterusnya tukar kepada yang lain.

Apa pandangan Dr berkenaan industri ‘Bio Bay’? Di Selangor, Dato’ Menteri Besar merancang untuk membangunkanya di Pulau Indah yang akan memberi fokus kepada penghasilan produk bioteknologi dan sains hayat. Bagaimana ia boleh dilaksanakan?Saya tahu hasrat itu. Ia sangat baik untuk dilaksanakan dan perlu dipuji. Selangor sebuah negeri yang membangun, jadi ia tidak boleh ditepikan. Apa yang saya faham berkenaan Selangor Bio Bay, ia menekankan teknologi yang berimpak tinggi, sains hayat dan bidang perubatan. Secara terperinci, saya tidak pasti lagi apa keutamaanya dan rancangan aktiviti. Tetapi ia adalah inisiatif yang sangat baik dan perkara ini perlu sentiasa diberikan tindakan susulan sampai berjaya. Saya berharap Kerajaan Negeri memberikan fokus yang kuat sehingga ia dapat direalisasikan.

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION