Persaraan tak halang Khusrin terus berbakti | Selangorkini


Persaraan tak halang Khusrin terus berbakti

Ikhlas dan komited dalam melakukan tugasan menjadi prinsip Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Kerajaan Selangor. Ketegasan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu melaksanakan tanggungjawab menjadikan beliau disegani ramai terutama dalam kalangan penjawat awam. Bakal menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 3 Januari 2016, Mohammed Khusrin berharap usaha beliau dapat diteruskan pada masa hadapan. Ikuti temubual wartawan Selangor Kini, AFEEQA AFEERA bersama beliau di pejabatnya di Bangunan SUK, di sini, pada 15 Disember lalu.
Boleh ceritakan pengalaman Dato’ Setia selepas hampir 30 tahun berkhidmat di Selangor?

Saya mula berkhidmat di Selangor sejak Jun 1986 dan hujung tahun ini genap lima tahun sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dengan menempuhi pelbagai pengalaman pahit manis.

Tugas pertama saya adalah sebagai Penolong Setiausaha Sektor Pertanian di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada 1986. Ketika itu kakitangan tidak ramai iaitu empat pegawai dan empat kerani.


IMG_0693Berbeza dengan apa dilihat sekarang, bilangan kakitangan semakin bertambah dan ia satu perkembangan baik. Saya percaya ia dapat membantu penjawat awam merancang pembangunan dengan lebih teratur dan sistematik.

Dahulu, beban kerja begitu besar kerana perlu berkhidmat kepada Exco berkaitan dan banyak mesyuarat untuk menyelaraskan permohonan diluluskan pada ketika itu.
Apakah budaya kerja atau prinsip diamalkan untuk memastikan kualiti kerja terbaik?

Sebagai penjawat awam, pelaksana dan perancang, kita melaksanakan apa juga dasar Kerajaan Negeri dengan ikhlas tanpa melibatkan diri dalam politik kerana ia sering bertukar.

Kita perlu lakukan tugas sebaiknya dan memberi komitmen selagi apa yang diarahkan tidak bercanggah dengan peraturan atau undang-undang.

Saya memegang prinsip mudah iaitu kita tidak boleh menyebelahi mana-mana parti politik dan menjalankan tugas dengan bertanggungjawab juga amanah dalam memberi perkhidmatan sepenuhnya kepada kerajaan pemerintah ketika itu.
Dilantik sebagai SUK pada 2011, apakah fokus utama Dato’ Setia ketika itu?

Pada peringkat awal pelantikan, saya memang berdepan sedikit kontroversi jadi tugas utama ketika itu adalah menyatukan pegawai kerajaan supaya fokus ke hadapan.

IMG_0720Krisis yang berlaku ketika itu adalah perkara luar daripada jangkaan dan saya perlu menghadapinya, namun saya bersama pegawai lain bekerjasama menjalankan perkhidmatan.

Ia selaras dengan prinsip profesional diamalkan, jadi isu pelantikan SUK tidak perlu diperbesarkan sebaliknya kita perlu bersama walaupun timbul masalah.

Apabila diarahkan untuk melakukan sesuatu, saya akan ikut sahaja dan memberikan yang terbaik.
Adakah kontroversi ketika awal pelantikan memberi tekanan kepada Dato’ Setia?

Tidak dinafikan pada peringkat awal memang menimbulkan ketegangan berikutan saya diarah untuk dilantik sebagai SUK dan berhadapan situasi tidak diterima hampir sebulan.

Saya tidak dapat menjalankan tugas yang sepatutnya, jadi saya terima perkara itu sebagai satu cabaran dan tugas saya adalah membuktikan boleh bekerja dengan baik.

Selepas peristiwa itu, saya diterima untuk menduduki mesyuarat Exco dan menjalankan tugas mengikut kemampuan serta memberi kepercayaan kepada mereka bahawa saya tiada kepentingan.

Saya hanya buat kerja berdasarkan tanggungjawab diberi dan serahkan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri sama ada mereka berpuas hati atau tidak.

Alhamdulillah, selepas beberapa lama mereka menerima saya dengan baik dan dapat bekerjasama walaupun pada peringkat awal mereka sangsi akan kebolehan saya.
Apakah cabaran apabila berhadapan karenah penjawat awam?

IMG_0707Jumlah kakitangan awam di Selangor lebih 20,000, jadi saya terima banyak maklum balas daripada wakil rakyat dan masyarakat bahawa mereka culas dan tidak mengikut waktu kerja.

Ini adalah tanggungjawab saya sebagai ketua untuk memberi kesedaran kepada mereka dan perlu menyelesaikan masalah berbangkit.

Sebagai penjawat awam, kita perlu memastikan sistem kerja dilaksanakan dengan baik dan cekap, sebab itu perlu membuat kejutan kepada mereka.

Budaya leka bekerja perlu dibanteras, saya hanya mulakan dan berharap setiap ketua jabatan dapat memantau kakitangan masing-masing serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Ini adalah amanah yang akan disoal di akhirat kelak berkenaan tanggungjawab ketika di dunia.
Adakah keculasan penjawat awam berjaya diatasi selepas kaedah ‘kejutan’ dilakukan Dato’ Setia?

Perubahan budaya tidak boleh berlangsung dalam waktu singkat, tetapi Alhamdulillah apabila kejutan dilakukan dengan turun padang nampak sedikit perubahan.

Dulu mereka suka melepak di kafeteria, kini amalan itu semakin berkurangan. Cuma, saya harap usaha itu dapat diteruskan dengan kerjasama semua pihak.

Ketua jabatan perlu memastikan kakitangan mereka berada di tempat kerja dan tahu apa mereka buat ketika waktu pejabat untuk membuang persepsi negatif rakyat.
Apakah kelebihan bekerja di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali?

Saya pernah berkhidmat dengan beberapa Menteri Besar Selangor sebelum ini dan setiap seorang daripada mereka mempunyai cara tersendiri.

Seperti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau membawa imej korporat dan cuba menerapkan budaya itu dalam perkhidmatan awam dan berlaku kejutan dalam kalangan penjawat awam ketika itu.

Ada yang merasakan kurang senang ekoran pendekatan tegas digunakan dan adakala penjawat awam merasa kecewa serta terasa hati dengan budaya berbeza itu.

IMG_0759Tetapi Alhamdulillah, selepas pentadbiran diambil alih Mohamed Azmin, suasana sekarang lebih baik dan mesra kerana beliau lebih menghormati penjawat awam.

Kita bekerja dengan lebih berlapang dada, ikhlas dan mudah tanpa rasa tertekan. Hubungan dengan Menteri Besar juga agak baik berbanding agak tegang sebelum ini.
Pengalaman pahit dan manis sepanjang berkhidmat sebagai SUK?

Belum pernah berlaku dalam sejarah apabila SUK dilantik, timbul kontroversi tidak sepatutnya sedangkan perkara itu boleh diselesaikan melalui perundingan dan perbincangan.

Itu yang saya cuba buat ketika ini supaya peralihan jawatan SUK dapat berlaku dengan baik supaya isu yang pernah dihadapi saya tidak timbul.

Itu satu pengalaman yang cukup pahit dan tidak pernah berlaku di Malaysia apabila dalam sebulan muka saya berada di dada akhbar setiap hari.

Tetapi, saya terima dengan hati terbuka dan ia sudah menjadi sejarah dalam hidup.

Pengalaman manis pula adalah berpeluang berkhidmat dengan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan SUK.

Dalam suasana pentadbiran baru, hubungan baik juga berjaya diwujudkan antara istana dengan Kerajaan Negeri dan ia menjadi pengalaman paling bermakna dalam hidup saya.
Pandangan Dato’ Setia berkenaan prestasi Kerajaan Selangor hari ini?

Selangor memiliki sumber kewangan kukuh termasuk kedudukannya yang strategik dan ia boleh ditingkatkan (pembangunan) dengan adanya kerjasama baik antara semua pihak.

IMG_0612Saya nampak trend yang ada sekarang adalah beberapa Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan (PBT) cuba menyekat pembangunan dan ia sangat membimbangkan.

Keadaan ini bahaya kerana banyak projek berdepan kelewatan ekoran berlaku bantahan tidak sepatutnya.

Kita tidak mahu terlalu banyak karenah birokrasi kerana jika mahu maju ke hadapan, kita perlu buat keputusan cepat.

Jika projek itu membabitkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat, maka kita perlu memberi sokongan sepenuhnya seperti mengatasi kesesakan jalan raya.

-NFN-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION