Selangorkini
SELANGOR

PKNS sumbang RM165,000 bantu persekolahan 2,082 pelajar

Oleh: AFIX REDZUAN

BANTING, 23 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghulurkan bantuan persekolahan bernilai RM165,000 kepada 2,082 pelajar asnaf dari sekolah agama sekitar Daerah Kuala Langat dan Petaling.

Pengurs Besar PKNS, Azlan Md Alifiah, berkata inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS tidak hanya tertumpu pada kawasan pembangunan PKNS malah perbadanan itu ingin memperluas bantuan kepada segenap lapisan masyarakat di Negeri Selangor.

PKNSKatanya, sumbangan bantuan persekolahan di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar Jugra melibatkan 62 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain Integrasi (KAFAI).

“Bantuan persekolahan itu bertujuan meringankan beban ibu bapa pelajar daripada asnaf fakir miskin untuk memudahkan mereka dengan persediaan persekolahan bagi sesi 2016 yang bakal bermula Januari depan.

“Antara bentuk sumbangan diberikan adalah yuran sekolah, basikal, buku latihan, alat tulis, cermin mata yang dipohon daripada pihak sekolah mengikut keperluan pelajar tersebut,” katanya dalam sidang media.

Jelasnya, bantuan itu merupakan sebahagian sumbangan zakat perniagaan PKNS yang dihulurkan terus kepada pelajar asnaf dengan bantuan JAIS dan amil qaryah.

Dalam perkembangan lain, PKNS turut memberikan sumbangan bernilai RM326,000 kepada 104 maahad tahfiz persendirian di sekitar Selangor bagi membantu kos operasi yang ditanggung sendiri sekolah berkenaan.

Secara keseluruhan, PKNS sudah melaksanakan 23 CSR dengan peruntukan RM1.7 juta untuk tahun 2015.

EZY


Pengarang :