Selangorkini
SELANGOR

Program berimpak tinggi tingkat pendapatan penduduk desa dan luar bandar

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 DIS: Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi akan memanfaatkan peruntukan hampir RM2.75 juta bagi program kursus pengukuhan kemahiran dan berimpak tinggi dalam usaha membangunkan pendapatan desa serta luar bandar.

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata jumlah itu sebahagian daripada RM40.48 juta yang diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, program Industri Komuniti Kampung Negeri Selangor antara contoh program yang berjaya mengubah kehidupan dan pendapatan peserta.

YUNUS HAIRI“Kita buat program dan kursus yang memberi impak khususnya kepada peserta tahun hadapan.

“Ada juga peserta yang mendapat ‘blue print’ tetapi tidak mendapat kursus. Saya akan libatkan mereka supaya peralatan yang diberi dapat dimanfaatkan serta mengukuhkan pendapatan,” katanya kepada Selangor Kini.

Ahmad Yunus sebelum itu menyerahkan sumbangan barangan keperluan perniagaan kepada 95 peserta yang berjaya menamatkan kurus bersama INPENS dan ITKAU bertempat di foyer SUK, di sini, hari ini.

Katanya, pemantauan juga akan dibuat secara berkala terhadap peserta yang menerima bantuan peralatan sambil dibantu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta agensi pengendali kursus, Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) dan Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (IKTAU).

Beliau berterima kasih dengan jalinan kerjasama baik yang diberikan INPENS serta ITKAU bagi mengendalikan kursus jangka pendek dan sederhana buat pertama kali.

-NFN-


Pengarang :