Selangorkini
NASIONAL

Umno kena ingat ‘dosa’ kepada PAS

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 DIS: PAS mengingatkan Umno supaya tidak bermimpi di siang hari dalam soal kerjasama kedua-dua parti dengan merenung kembali ‘dosa’ dilakukan Umno terhadap akar umbi parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, beberapa perkembangan disebut Datuk Seri Najib Tun Razak bukan petunjuk kepada sikap PAS sebenar.

umno-dan-pas-565x376Sebaliknya, selaku Presiden parti, Najib perlu sedar dari mimpi dan menyelesaikan masalah dalaman mereka terlebih dahulu yang kini berhadapan konflik melibatkan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yaasin.

“Jangan digunakan PAS sebagai “smokescreen” menutup masalah Umno. Seluruh dunia mendengar ucapan Tan Sri Muhyiddin Yaasin, Timbalan Presiden Umno, malam tadi.

“Ternyata Umno berhadapan dengan krisis dalaman serius seperti 1998 dan 1988,” katanya yang juga dalam satu kenyataan.

Najib dalam satu kenyataan menyifatkan langkah PAS yang tidak menolak Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat pada 16 November lepas menggambarkan tanda menggalakkan ke arah kerjasama antara kedua-dua parti orang Melayu itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor menjelaskan, sudah tentu mustahil bagi akar umbi PAS untuk memaafkan Umno tambahan parti itu hanya mencari mereka apabila tertekan.

“Ahli PAS atau keluarga mereka dinafikan pelbagai peruntukan atau bantuan yang sepatutnya diterima sebagai warganegara yang sah di negara ini.

“Penjawat awam condong PAS diberi amaran, diugut atau dipindahkan. Gerai-gerai peniaga-peniaga yang menyokong PAS dirobohkan. Aktivis PAS ditahan malah ada yang meninggal dunia akibat tahanan tersebut.

“Kelantan dianaktiri sejak penubuhan kerajaan PAS yang pertama dalam 1959 manakala kerajaan PAS Terengganu dinafikan hak kepada royalti petroleum,” katanya.

EZY


Pengarang :