NASIONAL

PAS terus desak Najib kecil saiz kabinet

SHAH ALAM, 22 JAN: PAS terus mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengecilkan saiz kabinet dan menamatkan jawatan penasihat khas bertaraf menteri sebagai langkah menghentikan sikap boros kerajaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata rakyat berharap Najib sekurang-kurangnya boleh memotong bajet Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengikut keperluan, bukan berdasarkan tuntutan parti komponen Barisan Nasional (BN).

tuan ibrahim tuan man“Najib diseru menamatkan jawatan Penasihat Khas beliau bertaraf menteri, termasuk empat hingga lapan pegawai dan pembantu yang diperuntukkan kepada setiap satu,” katanya lapor Malaysiakini.

Kenyataan itu susulan dakwaan kerajaan mahu menggantung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar universiti di peringkat sarjana muda dan bursari bagi pelajar program pra-universiti bagi tahun 2016.

Beliau berkata, keputusan itu memberi bayangan bahawa pengubahsuaian bajet yang akan dibentang perdana menteri pada 28 Januari ini akan hanya menambahkan tekanan kepada kehidupan rakyat.

“Rakyat sangat mengharapkan agar PM mengambil tindakan drastik mengurangkan ‘kos sara kerajaan’ terlebih dahulu.

“Oleh itu, PM mesti menunjukkan teladan dengan menghentikan sikap boros beliau dan keluarga yang menjadi buah mulut rakyat,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut mengulangi desakan supaya kabinet perdana menteri dikurangkan daripada 35 kepada 15 hingga 19 anggota sahaja. Manakala jawatan penasihat dan Duta khas PM yang bertaraf menteri turut dimansuhkan.

Gesaan sama turut disuarakan Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin dalam satu kenyataan media.


Pengarang :