SELANGOR

Elak senarai hitam, bayar kompaun MBPJ paling lewat 29 Februari

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JAN: Orang ramai yang mempunyai masalah kompaun dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dinasihatkan menjelaskannya dengan segera dalam tempoh Kempen Bayaran Kompaun, sehingga 29 Februari ini.

Kempen bermula 1 Disember tahun lalu bagi kemudahan orang ramai berbuat demikian ekoran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberikan kelonggaran kepada pengguna dengan diskaun sehingga 80 peratus.

Jurucakapnya berkata, MBPJ berharap orang ramai terutama di sekitar bandar raya itu mengambil kesempatan untuk menyelesaikannya bagi mengelak mereka dikenakan tindakan susulan.

MBPJ“MBPJ memperoleh kuasa untuk menyenaraihitamkan pemilik kenderaan yang mempunyai tunggakan kompaun lalu lintas tidak berbayar daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam pelaksanaannya, pada Disember tahun lalu.

“Sehubungan itu, MBPJ menyeru kerjasama daripada pemilik kenderaan yang masih belum menjelaskan kompaun tertunggak dapat berbuat demikian untuk mengelak daripada disenaraihitamkan,” katanya dalam kenyataan media.

Berhubung sambutan kempen, katanya, MBPJ berjaya memperoleh kutipan RM548,455 membabitkan 35,729 kompaun berbayar, sehingga 6 Januari lalu.

Untuk semakan kompaun dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Penguatkuasaan MBPJ di talian 03-79602658.

-NFN-


Pengarang :