SELANGOR

MB puji kematangan pemilihan Ahli Majlis PBT

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 14 JAN: Sikap matang ditonjolkan KEADILAN, DAP, PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) berkenaan pengagihan kerusi Ahli Majlis di Selangor dipuji Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Besar itu berkata, semua parti menyedari jawatan itu bukan sebagai ‘anugerah politik’, sebaliknya tanggungjawab yang perlu dipikul untuk menyelesaikan isu di kawasan masing-masing.

suk“Keputusan sudah muktamad, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan umumkan dan mereka angkat sumpah minggu depan.

“Semua parti termasuk AMANAH sudah melalui proses perbincangan dan bersetuju dengan pengagihan itu, saya berterima kasih atas sikap matang ditonjolkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di SUK, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, peruntukan kerusi itu sudah ditentukan dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pertama berdasarkan permuafakatan bersama.

Katanya, tidak timbul isu ancaman dalam menentukan kedudukan itu dan menyifatkannya sebagai sensasi media yang sengaja digembar-gemburkan.

“Di Selangor saya gembira kerana semua parti tunjukkan kematangan berkhidmat untuk rakyat dan tidak bermain politik.

“KEADILAN, DAP, PAS dan AMANAH dapat menunjukkan muafakat baik di Selangor dan harus menjadi contoh untuk diteladani,” katanya.

EZY


Pengarang :