Selangorkini
NASIONAL

PM tertekan tentu masa terbaik PRU, PAS jangka Mac 2017

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 10 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tertekan bagi menentukan masa terbaik untuk membubarkan parlimen berikutan senario politik semasa tidak memihak kepada Umno dan pentadbiran beliau.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata antara isu yang menghantui Najib dan Umno ketika ini termasuk perpecahan dalaman Umno, skandal 1MDB, imej pemimpin boros yang dibawanya dan tekanan kos sara hidup rakyat.

IMG_7765“Najib sekarang dalam keadaan tertekan. Mungkin dia nak buat pilihan raya awal tetapi dibelenggu banyak masalah atau jika nak buat lambat akan ditekan banyak pihak sebab kita tahu Umno berpecah, ada ramai tidak menyokong Perdana Menteri.

“Jadi, dia akan menggunakan PRU-14 ini untuk membuang individu dalam Umno yang tidak menyokongnya dan inilah sebab dia tidak tahu bila nak adakan pilihan raya dan menyebabkan tertekan,” katanya pada Perhimpuan Jenteri Pilihan Raya PAS di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, PAS Selangor menjangkakan PRU-14 akan diadakan seawal Mac 2017 supaya Najib mempunyai masa menyelesaikan beberapa isu terutama melibatkan sokongan kepada beliau oleh pemimpin Barisan Nasional (BN).

Iskandar turut mengingatkan supaya jentera pilihan raya PAS mula mengadakan persiapan bagi menghadapi kempen PRU-14 nanti.

IMG_7733“Kita jangka PRU-14 pada Mac 2017. Jadi, masa semakin suntuk dan kita kena berkerja keras daripada sekarang dan tidak boleh ada satu strategi untuk satu negeri tetapi perlukan strategi berlainan untuk setiap kelompok masyarakat berlainan,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut melancarkan perkhidmatan medik yang dijalankan di bawah badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Amal.

Perkhidmatan medik yang dilancarkan itu meliputi khidmat perubatan, menyelamat dan ambulan membawa mangsa ditimpa bencana.

Pasukan medik itu terdiri daripada anggota sukarelawan berpengalaman dan terlatih yang pernah atau masih berkhidmat antaranya sebagai doktor, sukarelawan bomba dan Jabatan Pertahanan Awam.

-NFN-


Pengarang :