Selangorkini
NASIONAL

PwC : Faedah maksimum TPPA hanya 0.22 peratus

SHAH ALAM, 6 JAN: Analisis firma audit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan faedah maksimum Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) hanya bertambah 0.22 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan eksport.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN, Wong Chen, berkata PWC membuat kesimpulan itu dengan membandingkan dua senario iaitu jika Malaysia tidak menandatangani TPPA dan jika negara menandatangani perjanjian serta tarif turun kepada sifar lebih daripada 10 tahun.

WONG CHEN“Kesimpulan mengenai perkara itu jelas: Laporan kos faedah PWC tidak menyokong mana-mana justifikasi ekonomi makro dengan menandatangani TPPA,” katanya dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Wong berkata, banyak laporan selepas teks TPPA dimuktamadkan tahun lepas, berikutan rundingan teramat panjang dalam kalangan 12 buah negara.

Bagaimanapun, katanya, PWC mendapati jika langkah bukan tarif seperti subsidi dan kuota dikeluarkan akibat TPPA, KDNK boleh berkembang sehingga 1.15 peratus dan eksport sehingga 0.9 peratus.

“Namun begitu, keadaan ini akan mencapai keseimbangan lebih berat kerana senario sama akan membawa 30 peratus penurunan dalam imbangan dagangan iaitu merujuk kepada perbezaan dalam nilai import dan eksport,” katanya.

Beliau berkata, penurunan imbangan dagangan bermakna Malaysia akan mengimport barang yang mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada apa yang dieksport.

Sebelum ini, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendesak Kerajaan Persekutuan supaya memikirkan kesan menandatangani TPPA ke atas kemerdekaan negara kerana dikhuatiri sejarah lama penjajahan British akan berulang.

DPPMPresidennya, Datuk Dr Syed Ali Alattas mendakwa, disebabkan Perjanjian Pangkor pada 1874, Malaysia masih sengsara sehingga hari ini, apatah lagi dengan TPPA yang lebih banyak kandungan perjanjiannya.

“Perjanjian Pangkor 12 muka surat, kita huru-hara sampai sekarang.

“Sekarang kita ada 6,000 muka surat,” katanya dalam sidang media berasingan, hari ini.

Sehubungan itu, DPMM berkata pihaknya akan menghantar memorandum susulan sesi meja bulat anjurannya hari ini kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkenaan pandangan mereka.

Memorandum itu akan dihantar DPMM sebelum sidang khas Parlimen berkenaan TPPA yang dijadualkan bulan depan.

-AA-


Pengarang :