NASIONAL

TMJ nasihat kerajaan singkir ‘Menteri bahan jenaka’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 JAN: Tunku Mahkota Johor, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihati Kerajaan Persekutuan supaya menyingkirkan beberapa Menteri yang kerap dijadikan bahan jenaka.

Katanya, tindakan itu perlu dibuat kerana Malaysia memerlukan Menteri bijak yang berkhidmat untuk rakyat dan bukan Menteri yang lebih mementingkan kepentingan peribadi berbanding kepentingan rakyat.

TMJ - TUNKU ISMAIL“Dengan rendah diri, saya ingin memberi nasihat untuk Kerajaan, langkah pertama dalam usaha menambah baik sistem adalah dengan mengeluarkan beberapa menteri yang dianggap sebagai bahan jenaka.

“Negara kita memerlukan menteri bijak yang boleh berkhidmat kepada rakyat, bukan berkhidmat untuk menampung poket mereka sendiri. Saya berdoa agar keadaan dan kesedaran politik di negara ini akan diperbaiki untuk manfaat rakyat,” kata Tunku Ismail menerusi akaun facebook rasmi Johor Southern Tiger, malam tadi.

Bagaimanapun, Tunku Ismail berkata, sikapnya yang gemar berterus terang itu menimbulkan perasaan kurang senang sesetengah pihak yang berusaha menutup mulutnya.

“Apabila saya menyuarakan pendapat, ia tidak bertujuan mencetuskan ketegangan dengan Kerajaan Persekutuan tetapi ia adalah dengan niat untuk bekerja bersama-sama menjadikan negara ini tempat yang lebih baik.

“Saya berjanji akan terus bersuara untuk rakyat dan bukannya mencetuskan ketegangan tetapi bekerja bersama-sama memperbaiki bahagian tertentu yang masih lemah kerana ia adalah tugas dan tanggungjawab sebagai Tunku Mahkota untuk berkhidmat kepada rakyat Johor,” ujarnya.

Tunku Ismail menambah, teguran yang dibuatnya tidak mempunyai sebarang sentimen politik kepada mana-mana pihak ekoran kedudukannya yang tidak terlibat dalam pilihan raya sebaliknya hanya teguran seorang putera raja yang sayangkan rakyat.

“Saya bukan seorang ahli politik dan saya tidak perlukan sebarang undi. Saya hanya seorang putera yang sayangkan rakyat dan apa yang saya katakan atau lakukan, adalah untuk kesejahteraan mereka,” ujarnya lagi.

Tunku Ismail sebelum ini dilihat satu-satunya kerabat diraja yang sering melontarkan pandangannya sama ada secara berterus terang mahu pun secara sinis yang boleh ditafsirkan merujuk kepada isu semasa tertentu.

-nR-


Pengarang :