NASIONAL

AMK asah ‘senjata’ hadapi PRN Sarawak

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 FEB: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) giat memperhebatkan jentera sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka diadakan April depan.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata setiap kepimpinan dibahagikan mengikut DUN bagi membantu proses sepanjang PRN berlangsung.

“Enam calon daripada AMK sudah dipilih untuk bertanding, malah kita juga sudah membahagikan tugas kepada Exco untuk mengerakkan kerja.

NIK NAZMI KONGRES“Saya berharap akan ada calon sulung yang lahir dari AMK atau lebih. Kita mahukan kemenangan dari AMK dalam pilihanraya terbabit,” katanya kepada SelangorKini.

Nik Nazmi berkata, kekuatan utama AMK Sarawak berteraskan latar belakang calon berusia 20-an dan 30-an, berasal daripada pelbagai kaum serta aktivis dan profesional.

“Isu jurang pembangunan, peluang pekerjaan dan ekonomi setempat, pencabulan Tanah NCR dan menyampaikan suara generasi muda Sarawak akan menjadi fokus calon AMK,” katanya.

Sarawak akan mengadakan PRN selepas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem membayangkan beberapa kali bahawa ia akan diadakan pada April depan.

Spekulasi semasa adalah pilihan raya mungkin diadakan paling awal pada Februari dan paling lewat pada Mei.

Dalam tempoh itu, ia juga boleh diadakan dalam masa 60 hari selepas tamat tempoh pada 20 Jun 2016.

-AA-


Pengarang :