Selangorkini
NASIONAL

Azizah hiba Anwar tak mampu angkat tangan untuk cucu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 FEB: Isteri mana tidak hiba melihat suami tercinta yang bukan sahaja dipenjarakan secara tidak sah, malah terpaksa menanggung kesakitan hingga tidak mampu mengangkat tangan sendiri ketika bergurau dengan cucunya.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah, berkata beliau hanya dapat memandang dengan sayu gelagat suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama cucunya ketika pertemuan terakhir mereka ketika di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bulan lalu.

BEBAS ANWAR“Pada masa itu cucu kami melihat gambar Anwar semasa reformasi bermula pada 1998 yang menunjukkan Anwar sedang mengangkat tangannya kepada orang ramai.

“Bila melihat gambar itu, cucu kami meminta Anwar supaya mengangkat tangan kanannya seperti mana aksi di dalam gambar itu tetapi alangkah sayunya, Anwar tidak mampu mengangkat tangan kanannya,” kata Wan Azizah ketika berucap pada Himpunan 365 #BebaskanAnwar di hadapan Penjara Sungai Buloh di sini, malam tadi.

Bagaimanapun jelas Wan Azizah, untuk tidak mengecewakan cucunya itu, Anwar mengangkat tangan kirinya seperti mana aksinya di dalam gambar terbabit.

Dr Wan Azizah turut melahirkan kekesalannya dengan sikap kerajaan Umno-Barisan Nasional yang enggan membenarkan Anwar mendapatkan rawatan di luar negara.

-nR-


Pengarang :