Selangorkini
SELANGOR

Bank Dunia: Wanita kuasai 53.6% pasaran kerja

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 FEB: Sebanyak 53.6 peratus pasaran kerja di negara ini dikuasai kaum wanita menurut kajian World Bank Study pada 2012, kata Exco Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Kata beliau, Selangor turut memainkan peranannya meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan dengan mewujudkan program Selangor Homemaker.

HEFORSHE 1“Program waktu kerja anjal di kalangan penjawat awam dan anak syarikat milik Kerajaan Selangor bertujuan memberikan sokongan kepada kaum ibu muda yang mempunyai anak kecil menguruskan aktiviti dan keperluan harian disamping memastikan khidmat dan tugasan terbaik kepada majikan.

“Langkah itu menunjukkan komitmen Selangor memastikan tenaga kerja wanita kekal dan terus meningkat dalam pasaran kerja yang mana ketika ini penglibatannya pada kadar 53.6 peratus,” katanya.

Dr Daroyah berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di Majlis Pelancaran Kempen #HeForShe Peringkat Selangor di Hotel De Palma Shah Alam di sini, semalam.

Katanya, program Homemaker merupakan penyelesaikan kepada masalah wanita berkelulusan dan skil kerja yang baik tetapi mengambil keputusan berhenti kerja untuk mengurus keluarga masing-masing.

“Malaysia meletakkan sasaran 55 peratus penglibatan wanita dalam pasaran kerja pada tahun 2015.

“Menurut World Bank Study pada 2012, Malaysia mampu mencapai dividen pertumbuhan sebanyak 0.4% setahun dengan penglibatan tenaga kerja wanita lebih tinggi dalam pasaran kerja,” kata beliau.

Katanya lagi, selain meningkatkan golongan wanita dalam sektor pekerjaan, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM3 juta dalam Belanjawan 2016.

Ia bagi program pembangunan wanita di Selangor iaitu Pusat Wanita Berdaya (PWB) dengan sasaran golongan ibu tunggal, suri rumah, wanita muda dan wanita berniaga.

EZY


Pengarang :