Selangorkini
SELANGOR

Chegu Bard, keluarlah dari ‘Gua Rembau’

SHAH ALAM, 17 FEB: Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard disifatkan sebagai bankrap politik ekoran membuta tuli mengkritik pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia susulan dakwaan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu bahawa Mohamed Azmin tidak telus dalam pelantikan Ahli Majlis di Selangor.

Menafikan perkara itu, Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Thiban Subbramaniam, berkata pemilihan Ahli Majlis berlangsung dalam keadaan baik dan tertib mengikut lunas perlembagaan parti.

AMK“AMK Selangor terbahak-bahak ketawa membaca kenyataan media Chegu Bard berkenaan isu pelantikan Ahli Majlis dan beberapa perkara membabitkan pentadbiran Menteri Besar.

“Pada pandangan kami, kenyataan terbaru Chegu Bard ini menunjukkan beliau adalah bankrap politik dan tidak cukup matang sebagai ahli politik,” katanya dalam kenyataan.

Thiban berkata, tindakan segelintir kecil pihak tidak berpuas hati terhadap keputusan parti adalah lumrah dalam politik negara.

Katanya, Mohamed Azmin dan pimpinan KEADILAN Selangor membuat pemilihan adil termasuk memperuntukkan jumlah besar bagi AMK Selangor menjadi Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ternyata kenyataan Chegu Bard itu tersasar dan beliau seolah-olah berada dalam keadaan ‘rabun’ ketika membuat kenyataan.

“AMK Selangor yakin rakyat di negeri ini sedang merasai nikmat sebagai warga Selangor dengan pelbagai kemudahan dan kebajikan Kerajaan Negeri.

“Chegu Bard boleh keluar daripada Gua Rembau untuk melihat apa yang sedang dinikmati rakyat Selangor dna jadilah ahli politik matang dan waras,” katanya.

Terdahulu, Chegu Bard mendakwa ramai calon tidak dilantik sebagai Ahli Majlis PBT ekoran ‘sikap dendam’ Mohamed Azmin.

Beliau mendakwa Menteri Besar itu membelakangkan cadangan Ahli Majlis daripada cabang tertentu di Selangor dan garis panduan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dikeluarkan pada 2013.

-AA-


Pengarang :