NASIONAL

Demi integriti lantik Gabenor BNM baru bebas politik

SHAH ALAM 29 FEB: Calon menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara (BNM) perlu bebas politik dan tidak pernah melibatkan diri dalam kabinet dan parti politik untuk menjaga imej dan integriti BNM.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata BNM adalah institusi yang masih dipercayai rakyat, perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Bank-Negara-MalaysiaKatanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Duta Malaysia ke Amerika, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang diura-urakan menjadi calon potensi menggantikan Zeti adalah tidak sesuai.

“Gabenor BNM baru mestilah berani dan tegas, adil, berpihak pada kebenaran dan berkemampuan seperti Zeti untuk melakukan perkara betul apabila berdepan isu seperti 1MDB dan ekonomi mencabar,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, PAS bersetuju kenyataan Zeti bahawa BNM perlu kekal sebagai badan bebas  pengaruh politik bukan sekadar peringatan – malah ia amaran kepada kerajaan untuk melupakan kecenderungannya dalam mencabuli kebebasan BNM.

“Sehingga kini, PM masih tidak memberikan sebarang petanda beliau bersetuju dengan Zeti dalam perkara ini.

“Rakyat menanti jaminan PM bahawa BNM bebas daripada campur tangan ahli politik. Jaminan ini penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dipertahankan,” katanya.

EZY


Pengarang :