SELANGOR

Dialog terbuka cadangan lebuhraya WCE nilai suara rakyat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 23 FEB: Dialog terbuka cadangan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) diadakan bagi membolehkan semua pihak menilai sendiri suara dan kehendak rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar Kerajaan, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata amalan mendengar pendapat rakyat sebelum melaksanakan projek dibuktikan Kerajaan Negeri terhadap satu projek lebuhraya tidak berapa lama dahulu.

“Sebenarnya Kerajaan Negeri memang menunggu cadangan jajaran daripada LLM kerana tahun lepas mereka bentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan kita beri banyak komen yang perlu dia betulkan.

Taklimat WCE“Bila lama sudah tak dimuktamadkan dan penduduk juga tanya status isu ini, saya berikan dialog dengan wakil penduduk pada 7 Disember lepas apabila ketika itu saya adalah penyelaras DUN Sungai Burung tetapi dia tak boleh bagi perinciannya. Mereka minta masa dua bulan.

“Jadi hari ini selepas dua bulan, kita buat sekali lagi dan nampaknya masih cadangan sama juga dibentangkan cuma kali ini kita buat secara terbuka sebab kita nak dengar daripada rakyat dan kita juga nak LLM juga dengar sendiri dari rakyat,” kata Iskandar kepada SelangorKini.

Katanya, amalan ini berbeza dengan pendekatan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar yang hanya mengadakan dialog bersama LLM dengan disertai beberapa pemimpin Umno dan beberapa pemimpin setempat.

“Seperti saya, takkanlah saya nak berbincang dengan tiga atau empat orang tetapi kita kena dengar pandangan rakyat sebab isu ini melibatkan rakyat,” kata Iskandar lagi.

Majlis dialog dihadiri hampir 100 penduduk khususnya penduduk di Kampung Sungai Gulang-Gulang dan Kampung Sungai Tengi Kiri.

Semasa majlis berlangsung beberapa penduduk mengemukakan pandangan untuk diberi perhatian LLM, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Salah seorang penduduk hanya menamakan sebagai Fazli menggesa Kerajaan Persekutuan dan konsesi tidak meneruskan projek ini sekiranya tidak mempunyai dana mencukupi.

“Saya cadangkan kalau tiada duit tak payah buat, dengan cara ini tidak menyusahkan penduduk,” katanya.

Cadangan itu mendapat sorakan gemuruh apabila mengulas terhadap pandangan LLM bahawa cadangan membina lebuh raya merentasi Pekan Tanjung Karang bakal melibatkan kos lebih tinggi.

EZY


Pengarang :