Selangorkini
NASIONAL

DLP jelmaan PPSMI, lemahkan Bahasa Melayu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kerajaan Persekutuan diingatkan tidak memperdayakan rakyat dengan percubaan mengembalikan Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik dan Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan selepas mendapat bantahan pelbagai pihak.

Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI, Profesor Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain, berkata percubaan itu dibuat dengan melaksanakan Program Dwi Bahasa (DLP) di 300 buah sekolah terpilih sebelum dilaksanakan di sekolah-lain.

DLP“Walaupun Kementerian Pendidikan mengumumkan tiada paksaan sekolah melaksanakan dasar ini tetapi kami diberitahu beberapa sekolah ini dipaksa melaksanakan dengan menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik iaitu sama dengan PPSMI, tiada konsep dwibahasa itu.

“300 sekolah dipilih itu merupakan sekolah elit dengan mempunyai keputusan peperiksaan cemerlang sekaligus sudah tentu mencerminkan kejayaan dasar DLP ini,” kata Dr Shaharir.

Beliau turut melahirkan keyakinan, sekiranya tidak ditentang Kementerian Pendidikan lambat laun memasukkan DLP ini sebagai dasar wajib yang perlu diikuti sekolah dengan menjadikan keputusan cemerlang dicapai 300 sekolah terbabit sebagai contoh.

Dr Shahrir turut menyamakan tindakan itu sebagai ‘peludah bahasa’ ekoran tindakan itu merupakan tindakan ‘melemahkan’ Bahasa Melayu itu sendiri.

Katanya lagi, sebelum ini pihak beliau mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Pendidikan tetapi sehingga hari ini dasar DLP masih diteruskan di sekolah-sekolah.

“Sekiranya mereka masih tidak menjawab, kita adakan perhimpunan besar-besaran pada 26 Mac nanti di ibu kota Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Pelancaran dihadiri tiga sasterawan negara iaitu Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan, Prof Dr Muhammad Salleh serta Datuk Baharuddin Zainal itu turut dimeriahkan dengan beberapa acara sampingan diantaranya persembahan nyanyian dan deklamasi sajak.

Selain tiga sasterawan negara, turut kelihatan hadir, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, wakil Angkatan Belia Islam dan pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO) lain.

EZY


Pengarang :