SELANGOR

DYMM Sultan Selangor berkenan sempurnakan Istiadat Menjunjung Duli

Oleh: NORHAYATI UMOR

KLANG, 27 FEB: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Menjunjung Duli sempena pengisytiharan pemasyhuran gelaran Orang Besar Bergelar, Orang-Orang Besar Istana, Orang Besar Daerah dan Dato’ Diraja Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Istiadat bergelar dan menjunjung duli bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 11 pagi itu dimulakan dengan susunan perarakan didahului Ketua Adat Istana Diraja, Bentara Raja membawa Sembuana dan Panglima Perang Kanan Aman Diraja.

DSC_0156Diikuti Panglima Perang Kiri Sedia Diraja dan DYMM Sultan Selangor (membawa Keris Panjang Beruk Berayun) serta Tengku Panglima Besar Selangor.

Istiadat menjunjung Duli dan Menghadap DYMM Sultan Selangor dimulakan dengan Dato’ Diraja Selangor yang dikurniakan pangkat Dato’ Lela Jasa Diraja, Dato’ Richard Alexander John Curtis.

Beliau adalah Pengarah Urusan Cahaya Mata Sarawak Berhad (CMS) sejak 2006 dan Ahli Lembaga Pemegang Tabung Amanah Yayasan Raja Muda Selangor.

Turut di masyurkan adalah Orang Besar Daerah Sepang, Prof Datuk Dr Tengku Jamaluddin Tengku Mahmud Shah yang dikurniakan gelaran Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang.

Beliau adalah bekas pensyarah Logistik dan Maritim Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dilantik pada Mei 2005 sebagai Orang Besar Daerah Sepang.

DSC_0231Diikuti istiadat menjunjung Duli oleh Orang Besar Istana kepada dua kerabat iaitu Pengerusi Eksekutif Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd, Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail Syed Amir Abidin Jamallulail dan Pengerusi Eksekutif CB Industrial Product Holding Berhad, Datuk Tengku Ardy Esfandiari Tengku Ahmad Shah.

Syed Budriz Putra Jamalullail dilantik pada 1 Ogos 2001 dengan gelaran Engku Maharaja Lela Setia Paduka dan Tengku Ardy Esfandiari pula dikurniakan pangkat gelaran Tengku Paduka Shah Bandar pada 1 Disember 2008.

Manakala Kerabat Diraja, Tengku Dato’ Iskandar Shah Tengku Ismail Shah dikurniakan gelaran Tengku Seri Andika Diraja.

Tengku Iskandar, 54, yang bertugas dengan sebuah bank dikurnia dan dilantik sebagai Orang Besar Bergelar dengan gelaran Tengku Seri Andika Diraja sejak 1 Disember 2008.

DSC_0181Kira-kira 300 tetamu termasuk kerabat Diraja Selangor dan pemimpin kerajaan negeri hadir ke majlis berkenaan yang kali terakhir diadakan pada 2005.

Minggu lalu, mereka yang melafaz sumpah pada hari itu perlu meninggalkan Selangor selama tujuh hari dan kembali semula bagi menyempurnakan Istiadat Menjunjung Duli hari ini.

Semua penerima sebelum ini perlu menyatakan ikrar taat setia dan menjunjung duli kepada baginda Sultan Selangor dalam istiadat dimulakan sejak era Raja Lumu.

Mereka dikurniakan dengan Keris Panjang (bagi penerima beragama Islam) dan pedang bagi penerima bukan Islam daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum meninggalkan Selangor selama tujuh hari mulai Sabtu lalu.

Kali terakhir istiadat itu dijalankan pada 2005.

-AA-


Pengarang :