Selangorkini
NASIONAL

FOMCA: Kekalkan potongan caruman KWSP 11 peratus

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan suapaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan caruman 11 peratus berbanding memilih potongan tiga peratus seperti yang diumumkan kerajaan

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata meskipun pencarum mempunyai lebihan perbelanjaan jika memilih untuk mencarum sebanyak 8 peratus namun simpanan kewangan masa hadapan perlu diutamakan.

FOMCA“Pada kita lebih baik ia dikekalkan 11 peratus. Kerajaan memberikan pilihan kepada kita (pencarum) untuk kekalkan atau tidak.

“Untuk pendapatan lain ia bergantung kepada bagaimana kita merancang perbelanjaan tetapi untuk simpanan wajib lebih baik dikekalkan untuk masa hadapan,” katanya kepada Selangor Kini.

Jelasnya, kebanyakan pencarum kini berhadapan penyusutan simpanan selepas bersara atas faktor kesihatan serta perbelanjaan pengajian anak-anak.

“Kalau kita melihat aspek kerugian yang dihadapi pengguna, kalau mereka mencarum kurang 11 peratus, simpanan caruman untuk hari tua berkurang. Berdasarkan kaji selidik yang dibuat KWSP pesara dalam lingkungan umur 55 hingga 60 mempunyai simpanan agak kurang,” katanya.

FOMCAPada 28 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017.

Langkah itu, dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.

-nR-


Pengarang :