Selangorkini
SELANGOR

“Biarlah cerdik kalau nak mengkritik”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Selangor sentiasa terbuka menerima kritikan, namun ia haruslah ‘cerdik’ dan bertempat, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Beliau berkata, sebarang perkara dibangkitkan perlulah mempunyai fakta tepat, seperti isu bumbung Masjid Negeri di Shah Alam yang sengaja digembar-gemburkan.

yaakob interview yellow stripe 01“Kepada mereka di luar sana, kalau hendak kritik Kerajaan Negeri pilihlah isu betul. Jangan pilih isu bumbung Masjid Negeri, anda kelihatan tidak cerdik.

“Lagi banyak cakap, lagi terserlah kebodohannya. Kami sedia menerima teguran tetapi biarlah bertempat,” katanya dalam satu posting di Facebook, hari ini.

Yaakob berkata, pihaknya sentiasa menekankan isu Masjid Negeri, Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Tasik Shah Alam semasa sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, meskipun Shah Alam adalah ibu negeri, namun kebanyakan bangunan di kawasan itu sudah terlalu usang dan buruk ekoran dibina lebih 30 tahun lalu.

“Alhamdulillah fasad luar menara MBSA siap dibaiki dengan belanja lebih kurang RM24 juta melalui tender terbuka, manakala kemudahan Tasik Shah Alam sedang dinaik taraf.

IMG_20160129_113001“Masjid Negeri tempat tumpuan umat Islam, bukan hanya dalam negeri bahkan luar negara di mana setiap minggu lebih 20,000 umat Islam berkunjung ke situ.

“Disebabkan bumbung masjid kelihatan usang, saya minta supaya ia diperbaiki, sesuai dengan namanya Masjid Negeri,” katanya.

Beliau turut memuji pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang meneruskan kerja membaik pulih masjid berkenaan demi kepentingan umat Islam.

“Ketelusan dan tiada ketirisan dalam Kerajaan Selangor melonjakkan hasil negeri, malah rizab juga dapat ditingkatkan,” katanya.

-AA-


Pengarang :