Selangorkini
NASIONAL

KEADILAN lapor polis salah guna dana awam

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 24 FEB: KEADILAN akan membuat satu laporan polis di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan atas dakwaan pecah amanah menggunakan dana awam untuk membiayai kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Laporan itu akan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, G Manivannan pada jam 2 petang esok di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

KEADILAN menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk K.K Eswaran dan Setiausaha Kehormat MAICCI, Datuk M Davendran.

Manivanan-Gowin-4a“Berdasarkan bukti ditunjukkan setakat ini jelas bahawa dana awam digunakan untuk membiayai kempen BN dalam kempen PRU-13 lalu dan lebih teruk lagi ia diumumkan sebagai ‘derma’ pilihan raya kepada ahli majlis pengurusan MAICCI,” kata Manivannan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Katanya, laporan polis itu menamakan Najib ekoran beliau adalah Menteri Kewangan bertanggungjawab sepenuhnya kepada semua kelulusan peruntukan.

Manakala, Eswaran pula menggunakan kedudukan beliau sebagai Presiden MAICCI mendapatkan dana awam daripada Kementerian Kewangan kemudiannya tidak digunakan bagi tujuan seperti tercatat dalam Perlembagaan atau Piagam MAICCI.

Davendran pula didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Setiausaha Kehormat MAICCI menggunakan dana awam mendatangkan keuntungan kepada beliau sendiri sebagai bekas ADUN yang mungkin bertanding dalam PRU-13.

Terdahulu, Rafizi mendakwa BN menyalurkan dana bernilai lebih RM2 juta kepada MAICCI yang kemudiannya disalurkan kepada jentera dan bayaran pembelian berkaitan kempen PRU-13.

-AA-


Pengarang :