Selangorkini
SELANGOR

LZS: Kutipan zakat lebih sasaran, agih RM676.3 juta

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya mengutip RM626.6 juta dan mengagihkan sebanyak RM676.3 juta zakat harta dan zakat fitrah kepada golongan asnaf bagi tahun 2015.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata kutipan itu melebihi sasaran dengan peningkatan sebanyak RM44.4 juta berbanding 2014 sebanyak RM582.3 juta.

mais“Pada 2015, LZS mengutip zakat harta sebanyak RM605.2 juta, manakala zakat fitrah sebanyak RM21.5 juta

“Jumlah pengagihan juga meningkat berbanding tahun lepas sebanyak 14 peratus dengan perbezaan RM80.6 juta,” katanya ketika sidang media khas di Bangunan Sultan Idris Shah di sini, pagi tadi.

Katanya, jumlah kutipan zakat terbesar mengikut segmen disumbangkan oleh Zakat Pendapatan (RM385.9 juta), diikuti Zakat Perniagaan (RM117.2 juta), Zakat Simpanan (RM38.1 juta), Zakat Harta (RM38.0 juta), Zakat Saham (RM10.1 juta), Zakat KWSP (RM9.7juta), Zakat Emas dan Tanaman (RM2.5 juta), Zakat Qada (RM1.1 juta) dan Zakat Ternakan serta Perak (RM0.05 juta).

LZS“Jumlah pembayar zakat harta bagi tahun lalu ialah seramai 256,540 orang iaitu peningkatan 3 peratus berbanding tahun sebelumnya seramai 248,013.

“Bilangan asnaf fakir yang menerima bantuan tahun lalu seramai 13,138 keluarga, manakala golongan asnaf miskin seramai 31,155 keluarga menjadikan jumlah keseluruhan keluarga yang menerima bantuan seramai 44,293 keluarga,” katanya.

Azib berkata, LZS komited meneruskan program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) meneruskan usaha pencarian golongan fakir dan miskin.

“Seramai 477 keluarga telah ditemui dan didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin melalui 21 siri SJK yang dilaksanakan seluruh Selangor,” katanya.

-nR-


Pengarang :