Selangorkini
NASIONAL

NOW: Jangan biar dana MARA terus diseleweng

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI BESI, 17 FEB : Majlis Amanah Rakyat (MARA) digesa supaya tidak sewenangnya membiarkan penyelewengan membabitkan dana kewangan institusi terbabit terus berlaku.

Pengarah National Oversight and Whistle Blower (NOW), Akmal Nasir, berkata skandal dan ketidaktelusan itu hanya akan mengunggat kepercayaan rakyat terhadap institusi terbabit.

NOW AKMAL“NOW mengulangi pendirian bahawa MARA sewajarnya menuntut kembali RM14 juta hasil lebihan bayaran pembelian hartanah (di Australia) dan pelbagai penyelewengan yang didedahkan sebelum ini.

“Kami percaya ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengatasi kemelut masalah kewangan MARA yang menyebabkan ramai pelajar tajaannya menghadapi kesempitan,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat NOW, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa agensi berkaitan kerajaan terpaksa mengurangkan bantuan pembiayaan pendidikan tahun ini.

Bahkan, MARA juga sebelum ini terlewat membuat pembayaran biasiswa pelajar ekoran beberapa masalah kewangan dihadapi institusi itu.

Perkara itu turut memberi kesan kepada hampir 1,000 pelajar baharu di 33 kolej swasta yang didapati sukar untuk meneruskan pengajian mereka.

Pada masa sama, keadaan itu sekaligus menimbulkan kebimbangan berkenaan kedudukan sebenar MARA untuk terus membiayai pendidikan golongan Bumiputera seperti dimandatkan.

-AA-


Pengarang :