Selangorkini
NASIONAL

Selesai perbezaan pandangan di Mesyuarat Majlis Presiden

SHAH ALAM 23 FEB: Perbezaan pendapat antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng diharap dibincangkan dan diselesaikan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, berkata beliau mahu isu berkenaan pemecatan dua adun KEADILAN dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pulau Pinang diselesaikan dalam suasana sivil dan baik.

tian chua pc pkr 01“Keupayaan kami untuk mengatasi perbezaan adalah kunci untuk menyakinkan rakyat bahawa gabungan ini mampu membawa negara menuju masa depan yang lebih cerah,” kata Tian Chua dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kenyataan Mohamed Azmin itu dibuat atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden KEADILAN tanpa sebarang niat untuk campur tangan dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang.

“Saya harap Lim memahami bahawa ini adalah bukan pendapat peribadi Mohamed Azmin tetapi adalah pendirian KEADILAN,” kata Tian Chua.

Sebelum ini Mohamed Azmin berkata Biro Politik KEADILAN membuat keputusan membantah sebarang tindakan terhadap pemecatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Pulau Pinang daripada memegang jawatan dalam GLC.

Mohamed Azmin berkata perbezaan pandangan berkenaan perkara itu perlu diraikan dan tidak perlu diambil tindakan.

Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Adun Kebun Bunga, Cheah Kah Peng tidak mengundi usul berkaitan penambakan tanah yang dibentangkan Umno, November lalu dengan ditamatkan khidmat dalam syarikat GLC berkenaan.

Masing-masing Chin Wen dipecat daripada jawatan pengarahnya di Penang Invest and Island Golf Properties Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), manakala Kah Peng ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.

EZY


Pengarang :