Selangorkini
NASIONAL

Setahun pemergian Almarhum Nik Aziz terus dirasai

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 FEB: PAS masih merasai kehilangan mantan Mursyidul Am PAS, Almarhum Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat namun bingkisan mutiara kata yang ditinggalkan terus dijadikan panduan kehidupan serta perjuangan parti.

Terkenal dengan ketegasan dalam mempertahankan prinsip dan dasar parti, perjuangan PAS ditinggalkan Almarhum mengajar ahli supaya terus beristiqamah memperjuangkan Islam.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tidak banyak perubahan berlaku dari segi dasar dan perjuangan PAS buat masa ini.

Nik Aziz“(Almarhum) Tuan Guru terus istiqamah dengan dasar serta perjuangan parti tidak kira apa pun yang berlaku dan itu menjadi panduan sehingga hari ini.

“Tidak banyak beza dari segi dasar dari dahulu hingga sekarang sebagai contoh dasar negara Islam. Sehingga DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada 2001.

“Almarhum terus serta kekal dengan prinsip dan dasar PAS perjuangkan,” katanya kepada Selangor Kini.

Katanya, mutakhir ini kemasukan ahli baru dan sokongan terhadap PAS semakin menggalakkan meskipun mereka tidak berada dalam gabungan baru dan mengekalkan tahaluf siyasi bersama KEADILAN.

“Selepas pergolakan yang berlaku dalam parti, kita menerima kemasukan ahli luar biasa. Ketegasan terhadap PAS menjadi perkara penting kepada Almarhum.

“Dia cukup berpegang kepada prinsip dan tidak berkompromi dengan sebarang isu melibatkan dasar parti.

“Apa yang penting bila kita terus istiqamah dengan dasar parti maka kita akan terus mendapat sokongan meskipun akan ada penyokong yang lari,” katanya.

Pada 12 Februari 2015 menjadi detik yang diingati seluruh rakyat apabila Almarhum Nik Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun.

Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Jenazah Almarhum disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Pulau Melaka.

EZY


Pengarang :