Selangorkini
NASIONAL

TH diminta perjelas kerugian RM100 juta pelaburan 2007

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 23 FEB: Tindakan agresif Lembaga Tabung Haji membuat pelaburan besar dalam syarikat roti pada 2007 menyebabkannya kerugian hampir RM100 juta, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli.

Beliau berkata pembelian saham Silverbird Group Berhad (kini dikenali sebagai Hi-5 Conglomerate Berhad) ketika itu menyebabkan nilai saham syarikat itu melonjak daripada 39 sen (awal September 2007) kepada RM1.08 (16 Oktober 2007).

tabung-hajiKatanya, Tabung Haji (TH) melabur kira-kira RM98 juta bagi 90.483 juta saham sekaligus muncul pemegang saham terbesar pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2007.

“Bagaimanapun pada Julai 2014, saham Tabung Haji terpaksa dijual apabila syarikat itu terlalu banyak berhutang sehingga dianggap sebagai tidak patuh syariah.

“Dianggarkan ketika penjualan dibuat, nilai saham berkenaan jatuh sehingga RM0.07 atau RM0.08 sahaja iaitu bersamaan RM3 juta.

“Secara kasarnya, pelaburan RM98 juta pada 2007 itu hangus semua,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Tabung Haji memberi penjelasan berhubung tindakan yang menyebabkannya membayar premium sehingga 177 peratus.

“Menariknya, pada ketika Tabung Haji menjadi pemegang saham terbesar, Tan Sri Vincent Tan juga muncul pemegang saham kedua terbesar.

“Tindakan agresif Tabung Haji membeli saham sehingga melonjak nilai saham ketika itu semestinya menguntungkan Vincent Tan.

“Oleh itu, Tabung Haji mesti memberikan penjelasan bagi mengelak spekulasi,” katanya.

EZY


Pengarang :