Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Azmin seru warga peduli cipta perubahan

KENYATAAN MEDIA

29 FEBRUARI 2016

Kita sedang menyaksikan gelombang perubahan dalam politik Malaysia. Tembok-tembok pemisahan yang dibina bertahun-tahun atas politiking akhirnya runtuh.

Kenyataan hari ini oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, orang yang bertanggungjawab membawa UMNO ke puncak kekuasaan dan kejayaan, memberi makna beliau akhirnya telah hilang harapan dengan partinya.

Kesan dari tindakan mengejut tetapi berani tersebut masih belum sepenuhnya difahami. Namun, tidak dapat diragukan bahawa ianya akan mempunyai pengaruh yang besar dan pasti mempunyai dampak mendalam terhadap lanskap politik negara.

Belum pernah semua institusi demokrasi berperlembagaan dinodai sebegini rupa dan ibu kepada segala skandal kewangan berleluasa dengan pelakunya bebas tanpa sebarang tindakan.

Prinsip-prinsip asas tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan, dilanggari. Belum pernah dalam sejarah negara kita begitu banyak kerosakan dilakukan oleh segelintir manusia.

Akibatnya, rakyat membayar harga yang amat mahal akibat dari jenayah rasuah dan salah guna kuasa di Putrajaya.

Saya menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik, kaum, kepercayaan dan agama untuk bersama kerana sesungguhnya masanya telah tiba bagi semua warga yang peduli untuk bertindak dan mencipta perubahan hakiki dan bermakna.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Besar Selangor


Pengarang :