Selangorkini
SELANGOR

103 pelajar UNISEL, KUIS terima manfaat RM4.95 juta Biasiswa Selangorku

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 MAC : Seramai 103 pelajar masing-masing dari Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menerima manfaat Biasiswa Selangorku berjumlah RM4.95 juta.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pemberian biasiswa pendidikan itu diharap mampu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan mahasiswa berdaya saing di peringkat global.

Penyampaian biasiswa selangorku 2016 (ASRI) (3)“Kami mahu pelajar mempunyai kebolehan seimbang agar dapat memenuhi hasrat melahirkan generasi muda yang memacu perkembangan pendidikan Selangor, selari dengan kemajuan arus global.

“Saya percaya mereka yang berada di sini menepati piawaian ditetapkan dan tahniah kepada anda semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Surat Tawaran Program Khas Biasiswa Selangorku Kumpulan Satu di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UNISEL, Profesor Datuk Redzuan Othman, Rektor KUIS, Datuk Dr Abdul Halim Tamuri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Mazlan Mohammad Nor, dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Datin Wan Rabiah Wan Mohd Yusof.

Dalam pada itu Nik Nazmi berkata pemilihan penerima biasiswa tertakluk kepada beberapa kriteria dan keutamaan diberikan kepada mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah, dan luar bandar.

“Namun kami juga mahu pemohon berkualiti dari sudut pendidikan dan keperibadian diri,” katanya.

Justeru katanya, diharap biasiswa ini dapat meringankan beban rakyat seiring falsafah diperkenalkan pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk membangun Smart Selangor yang peduli.

“Kerajaan Negeri tidak hanya mengulangi retorik ini tanpa mengambil langkah perlu untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

Mohamed Azmin dalam pembentangan belanjawan lalu berkata program Biasiswa Selangorku merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk terus prihatin terhadap keadaan semasa generasi muda di Selangor.

EZY


Pengarang :