NASIONAL

1MDB lewat bayar tunggakan RM396.41 juta kepada PPHM

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) melakukan kelewatan pembayaran tuntutan berjumlah RM396.41 juta terhadap Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) sehingga September 2015.

Kelewatan tunggakan sejak Disember 2014 itu melibatkan kos pembangunan lima lokasi penempatan semula Pengkalan Udara Subang, Pengkalan Udara Sendayan, Pengkalan Udara Polis Subang, Rejimen Artileri Diraja Kem Kajang dan Pengkalan Udara Kuantan.

Katanya, kelewatan itu memberikan kesan besar kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memandangkan PPHM adalah anak syarikat mereka.

Rafizi“Berdasarkan Laporan Tahunan LTAT 2014, jumlah pencarum yang tamat perkhidmatan (bersara) adalah 7,030 orang dengan bayaran caruman berjumlah RM982.9 juta.

“Jika angka sama digunakan untuk menganggarkan jumlah pencarum yang tamat perkhidmatan dan bayaran caruman terlibat bagi 2015, anggaran jumlah pencarum bersara setiap bulan antara September 2015 sehingga kini adalah 590 orang sebulan dan bayaran caruman RM140,000 setiap seorang,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Beliau berkata, bagi tempoh lima bulan dari Oktober 2015 hingga Februari 2016, jumlah diperlukan LTAT membayar caruman pesara baru tamat perkhidmatan adalah RM413 juta.

“Jika LTAT tidak dibayar oleh 1MDB dan jumlah tunggakan adalah RM396.41 juta sehingga Spetember 2015, sudah tentu LTAT akan mempunyai masalah membayar caruman pesara tentera tepat pada waktunya,” katanya.

Rafizi berkata, beliau tidak teragak-agak mendedahkan butiran itu kepada umum jika LTAT dan 1MDB enggan bersifat telus menyiarkan sepenuhnya senarai pembayaran dan tunggakan dari 1MDB kepada PPHM antara 2013 hingga 2016.

Beliau turut meminta senarai pesara tentera belum menerima bayaran caruman LTAT mengikut bulan bermula 2014 disiarkan bersama.

-nR-


Pengarang :