Selangorkini
NASIONAL

AG perlu isytihar ‘jihad’ perangi rasuah PM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 MAC : Peguam Negara (AG) disaran supaya lebih telus dan tidak menyembunyikan kebenaran berkenaan skandal kewangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata AG juga perlu menyatakan pendiriannya mengikut lunas perundangan sebenar terhadap dakwaan rasuah membabitkan Perdana Menteri.

shamsul-iskandar-pkr(1)“Dalam kes rasuah Perdana Menteri, kita cabar AG untuk tampil menyatakan pendirian.

“Tentunya rakyat tertanya-tanya apakah pendirian beliau dalam usaha memulakan jihad memerangi rasuah ini,” katanya kepada SelangorKini.

Skandal kewangan Najib didedahkan media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) membabitkan dana kewangan lebih RM2 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Jumlah itu dikatakan diterima daripada seorang penderma dari Arab dengan tujuan kononnya sebagai sumbangan kepada Perdana Menteri untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

Bagaimanapun indentiti ‘penderma’ masih tidak didedahkan walaupun wujud desakan daripada kepimpinan tertinggi Umno antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, Shamsul berkata, beliau percaya Najib tidak akan memberikan penjelasan lanjut berkenaan perkara itu dan akan terus membiarkan kemelut terbabit.

“Dengan pelbagai pendedahan dan tekanan sekarang ini, Najib hanya akan terus melancarkan beberapa siri tindakan politik lagi kepada pengkritiknya,” katanya.

-AA-


Pengarang :