NASIONAL

Apa pula ‘rompakan’ Najib selepas ini?

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 MAC : Satu demi satu pendedahan membabitkan skandal kewangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didedahkan media antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ).

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata pendedahan berkenaan memberi gambaran jelas lebih banyak lagi skandal dilakukan Najib.

“Dengan pendedahan terbaru ini, rakyat tentunya ingin tahu berapakah jumlah sebenarnya dan dalam bentuk apakah rompakan duit rakyat ini berlaku?

SHAMSUL ISKANDAR“Siapakah dan syarikat mana pula yang terlibat kali ini? Kita sudah dengan penglibatan syarikat SRC International, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sekarang apa pula?” katanya kepada SelangorKini.

Beliau mengulas pendedahan WSJ berkenaan deposit yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri berjumlah lebih daripada AS$1bilion.

Jumlah terbabit termasuklah deposit AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang kononnya didakwa Najib sebagai sumbangan politik.

Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya berasal dari 1MDB dan bukannya dari penderma Arab Saudi.

Pertikaian itu kata Shamsul yang juga Naib Presiden KEADILAN sekali gus menimbulkan keraguan berkenaan kenyataan Peguam Negara (AG) bahawa Perdana Menteri tidak terlibat dengan skandal kewangan.

“Kita cabar AG untuk tampil memberi pendirian ekoran dalam kes lalu kononnya tiada kes dan sekarang ada pula yang baru,” katanya.

-AA-


Pengarang :