Selangorkini
NASIONAL

Buat aduan jika harga barang naik mendadak

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 MAC: Pengguna dinasihatkan membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jika berlaku peningkatan mendadak harga barangan berasaskan tepung di pasaran.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata walaupun barang itu bukan di bawah harga kawalan, namun peniaga tidak semudahnya menaikan harga pada kadar tidak masuk akal.

FOMCA“Barang ini bukan di bawah kawalan dan ia sebenarnya bergantung kepada peniaga yang menentukan harga.

“Sebagai contoh harga bagi sekeping roti canai sekarang RM0.90 sen, kalaulah meningkat sampai RM1.90 bagi saya sudah terlalu melampau.

“Jadi pengguna perlulah membuat aduan supaya pihak berkuasa boleh ambil tindakan terhadap pengusaha restoran itu,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, media melaporkan KPDNK akan menghapuskan subsidi seguni tepung gandum seberat 25 kilogram.

Pemansuhan itu dijangka mengakibatkan makanan berunsurkan gandum berdepan kenaikan.

Justeru, Yusof berkata, kerajaan digesa supaya menyediakan mekanisme terbaik supaya masalah itu dapat diatasi.

“Keutamaannya perlu ada cara untuk mengawal atau membolehkan subsidi sedia ada disalurkan kepada pengguna dan bukannya peniaga terus mengambil kesempatan menaikkan harga,” katanya.

-AA-


Pengarang :